Pena Alam Maya

Kalam mutiara dari Syeikh Ibnu Atho'illah As-Sakandari yang ada dinukilkan di dalam kitabnya Al-Hikam : "...Tiada suatu nafas terlepas daripadamu, melainkan di situ pula ada takdir Allah yang berlaku di atasmu..."

Seruan Itu...

Friday, November 26, 2010


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang yang mana segala rancangan telah dirancang-Nya dan segala ketetapan telah ditetapkan-Nya

Sekian lama Kitab Fiqh Manhaji ini menanti disentuh, akhirnya Jilid 1 dibawa bersiar-siar ke Darul Rahmah. Jilid 2 dan 3 hanya menunggu giliran mereka. Debu dan habuk yang menutupi nama Dr. Mustafa Bahin ~ Dr. Mustafa Bugho ~ ‘Ali Asy-Syarbaji ~ dibersihkan. Semoga Allah merahmati mereka sebanyak-banyaknya diatas penulisan kitab feqah Mazhab Syafie’ ini. Alhamdulillah, minggu ini Ustaz Firdaus telah membuka satu lagi bab iaitu berkenaan azan dan iqomah.


AZAN

DEFINISI : Ia merupakan lafaz khusus yang disyariatkan Islam untuk menyatakan telah masuknya waktu solat fardhu dan menyeru kaum muslimin berkumpul kerananya.

HUKUM AZAN : Azan disunatkan apabila hendak menunaikan sama ada solat tunai atau pun qada’ (kedua-duanya fardhu) ; ia adalah sunat muaqqad ‘alalkifayah - bagi sesuatu kumpulan yang tuntutan sunatnya terlaksana walaupun tidak dilakukan oleh semua ahli kumpulan tersebut. Bagi individu, ia merupakan sunat ‘ainih. Azan juga merupakan satu perkara yang sangat penting dalam menzahirkan syiar-syiar Islam.

DALIL PENSYARIATAN AZAN :

“Wahai orang-orang  beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu)…” [Surah Al-Jumu’ah : Ayat 9]

Rasulullah SAW bersabda : “Apabila tiba waktu solat maka salah seorang daripada kamu hendaklah melaungkan azan dan orang yang paling tua dikalangan kamu hendaklah menjadi imam kepada kamu.” [Hadith Riwayat Bukhari & Muslim]

PERMULAAN DISYARIATKAN AZAN :

Azan telah disyariatkan pada tahun pertama hijrah. Al-Buhkari dan Muslim telah meriwayatkan daripada Ibnu Umar RA katanya : Ketika orang-orang Islam datang ke Madinah, mereka berkumpul dan menunggu untuk menunaikan solat, ketika itu tidak ada orang menyeru melaungkan azan untuk menunaikannya. Pada suatu hari mereka berbincang mengenainya. Berkata seseorang daripada mereka, “Kita gunakan loceng seperti loceng orang Nasrani.” Berkata lagi seseorang, “Kita gunakan ceropong (peniup) seperti tanduk yang digunakan orang Yahudi.” Kemudian Saidina Umar RA berkata, “Mengapa kamu tidak menyuruh seseorang bangun untuk menyeru untuk solat?” Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Wahai Bilal, bangun dan serulah untuk bersolat.”


SYARAT SAH AZAN :
  1. Islam
  2. Mumaiyiz
  3. Lelaki
  4. Melafazkan kalimah azan dengan tertib
  5. Berturut-turut antara kalimah (tidak boleh terpisah lama antara kalimah)
  6. Meninggikan suara sekiranya azan tersebut untuk jemaah 
  7. Masuknya waktu

Manakala bagi jemaah wanita mereka tidak disunatkan untuk azan tetapi disunatkan untuk iqomah.

SUNAT-SUNAT AZAN
  1. Menghadap kiblat
  2. Suci dari hadas besar dan kecil
  3. Berdiri
  4. Memalingkan muka ke kanan ketika bacaan “Haiya’alassolah” dan ke kiri ketika bacaan “Haiya’alalfalah”
  5. Jelas sebutan kalimah azan
  6. Mengulang kalimah seterusnya dengan perlahan (tarji’)
  7. Membaca tathwib ketika azan Subuh “Assolatu khairum minannaum”
  8. Melaungkan azan dengan suara yang lembut dan merdu
  9. Mua’azzin dikenali sesama manusia dengan akhlak yang baik dan adil
  10. Tidak melagukan laungan azan
  11. Dua orang mu’azzin ketika azan untuk solat Subuh (seorang pada 2/3 malam dan seorang pada waktu Subuh)
  12. Pendengar azan disunatkan diam dan menghormatinya serta mengucapkan apa yang dilafazkan bilal
  13. Berdoa dan berselawat keatas Nabi selepas selesai azan

 InsyaAllah bab iqomah akan disambung kemudian jika dikurniakan keizinan-Nya



Wallahu Ta'ala 'alam...

Rujukan : Kitab Fiqh Manhaji Jilid 1 Bab Azan & Iqomah


0 Wasiat Ditinggalkan:

Post a Comment