Pena Alam Maya

Kalam mutiara dari Syeikh Ibnu Atho'illah As-Sakandari yang ada dinukilkan di dalam kitabnya Al-Hikam : "...Tiada suatu nafas terlepas daripadamu, melainkan di situ pula ada takdir Allah yang berlaku di atasmu..."

Aku Terima Nikahnya

Friday, May 21, 2010

Barakallahulakuma Wabaraka 'Alaikuma Wajama'a Bainakuma Fil Khair...


Alhamdulillah...Syukur atas ketenangan yang dikurniakan Allah SWT dengan duduk dan berada disekeliling orang-orang yang bersungguh-sungguh menuntut ilmu-Nya, pelajar pengajian Islam. Angin bandar Kaherah berlainan dengan Mansurah. Begitu juga perasaan.


Alhamdulillah sekali lagi dan sepatutnya sentiasa dilafazkan. Baru-baru ini saya berkesempatan menghadirkan diri ke dua majlis akad nikah. Pasangan pertama Ustaz Syafiq (Melaka) dan isterinya Ustazah Aini Juwita (Singapura). Majlis akad nikah diadakan di Masjid Salam di Hayyu Asyir sekitar pulul 10.30 pagi. Duduk dibelakang saksi untuk melihat sendiri apa prosedur yang dijalankan. Semoga mendapat keberkatan.


Pada hari yang sama, dalam pukul 12.30 tengahari bertempat di Surau Rumah Terengganu berlangsungnya satu lagi majlis akad nikah. Pasangan kali ini ialah Ustaz Muzani (Terengganu-Melaka) dan Ustazah Nurul Aini Hasmidar (Terengganu). Kali ini duduk berjauhan sedikit tetapi berhampiran dua orang yang penting, Dr. Che Mohd. Nur Anas, bakal pengantin dan Ustaz Syahrul, pengantin baru. Semoga Allah mengurniakan kebaikan yang ada pada diri mereka untuk diri ini.


Ingin berkongsi beberapa perkara yang menarik dan semoga ada kebaikan padanya. Majlis akad nikah mereka dijalankan beberapa minggu sebelum peperiksaan akhir tahun mereka, penuntut Universiti Al-Azhar. Kesemua pasangan juga merupakan pelajar Tahun 1 Universiti Al-Azhar. Nampak, tidak terlalu muda bagi mereka dan bukan umur jadi halangan tapi sunnah Rasulullah SAW yang ditegakkan. Dan yang mengagumkan saya ialah kedua-dua pengantin lelaki hanya melafazkan akad dengan sekali lafaz. Allahuakbar!


Ada berapa perkara lagi yang baru dipelajari ketika berada di majlis akad nikah mereka, hasil penerangan juru nikah bertauliah dan juga pegawai Johor di Mesir, Ustaz Hanif. Khutbah yang disampaikan sangat ringkas tapi menarik perhatian. Talak ialah salah suatu perkara yang halal tetapi ia adalah perkara halal yang paling tidak disukai Allah. Ingin rasanya berkongsi tentang takliq, salah satu bentuk talak yang dilafazkan oleh pengantin lelaki selesai sahaja akad nikah dan ianya diharuskan dalam agama. Mungkin akan diceritakan pada post akan datang kerana ingin mengumpul sedikit lagi ilmu dan maklumat mengenainya.


Semoga dipermudahkan.


Daripada Abu Ayub RA, Rasulullah SAW bersabda : "Empat perkara yang merupakan sunnah para rasul iaitu malu, memakai wangian dan berkahwin." [HR Tarmizi]

Perkongsian...Akan dihuraikan kemudian

Terdengar kata-kata dan falsafah daripada pembacaan beberapa orang ustaz.
Perempuan yang belajar tinggi-tinggi semua EGO! Betulkah???
Diberi perumpamaan lain. Semua tiang tegak, tapi sudahkah engkau lihat semua tiang didunia?
Jadi, perempuan yang belajar tinggi-tinggi semua ego. Sudahkah engkau berjumpa dengan semua perempuan didunia ini? Fikir-fikirkan.

- Tahniah dan Selamat Pengantin Baru buat kesemua pasangan
- Sepanjang sesi 2009/2010 ini sudah enam pasangan dari ahli negeri Melaka di Mesir yang telah mendirikan rumah tangga
- Tahniah buat Ustaz Abd. Hakim (Perak) dan Ustazah Nurhamizah (Melaka) atas kelahiran puteri sulung mereka, Tasneem
- Ustaz Syafiq dan Ustazah Aini Juwita akan berpindah dan tinggal di Dirasat, Mansurah





Rujukan : Fiqh Manhaji (Kitab Fikah Mazhab Syafie) Jilid 4 Bab 13 & 14

Itukan Hak Allah!!!

Monday, May 17, 2010




Salam imtihan buat semua pejuang dan pendokong agama. Tidak lupa buat penyokong juga. Selamat Hari Guru buat tenaga pengajar SK Dato’ Naning, SMS Muzaffar Syah (MOZAC) dan Kolej Matrikulasi Melaka serta buat semua warga pendidik di Malaysia. Juga buat Ustaz Zul, guru di Baitul Qurra’ Wal 'Ilmi, Ustaz Salman pendidik Madrasah Imam Nawawi & sahabat-sahabat yang tidak sedikit pun menyimpan ilmu pada diri mereka sendiri sebaliknya dengan bersungguh-sungguh memberi pemahaman dan pengetahuan kepada diri yang serba jahil ini.

Ingin lagi saya berkongsi sesuatu yang yang pada pandangan umumnya semua mengetahui tetapi hanya sedikit sahaja yang dapat mengadili.

HAK DAN HUKUM ALLAH

Tidak perlu rasanya saya menulis lagi tentang keprihatinan kerajaan Malaysia ‘menghalalkan’ judi dengan memberi lesen kepada syarikat Kumpulan Berjaya. Banyak ulasan telah diberikan oleh ilmuan dan pemikir Islam dalam laman web mereka : Ustaz Zaharudin, Dr Mohd Asri, Ustaz Nasrudin dan banyak lagi.


Kejutan kepada saya tentang perkara ini tidak sehebat sebelumnya. Makin lama makin ‘masak’ dengan fi’il pemerintah-pemerintah Malaysia. Terdahulu berkenaan kes minum arak dikhalayak ramai, Kartika Sari Dewi Shukarno di sebuah resort di Cherating, Pahang. Kartika yang pada mulanya menerima dengan rela hukuman sebatan keatasnya terkejut setelah diberikan ‘pengampunan’ dari Sultan Pahang. Berikut adalah petikan dari akhbar myMetro dan Utusan Malaysia Online :

“Mengikut Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Pahang 2002, Tuanku Sultan (Pahang) mempunyai kuasa mutlak untuk member pengampunan walaupun dia (Kartika) tidak minta diampunkan (atau membuat rayuan)”

Hukuman sebatan ditukar kepada hukuman khidmat masyarakat. Sudah pasti anda boleh menilainya. Menakjubkan. Pengampunan dari manusia jauh lebih tinggi dari hukum Allah. Sama juga apabila timbulnya isu hukum hudud dan mendoakan keburukan kepada seseorang. Mulalah ulama’-ulama’ dunia bangkit dan memberi hujah yang mengelirukan masyarakat. Sebahagian ilmuan yang dulunya saya sanjung tiba-tiba memberi kenyataan yang langsung tidak boleh diterima akal. Tersentak.


Dipalingkan lagi masyarakat Malaysia khususnya yang beragama Islam dari melihat maksiat yang ada pada Sure Heboh dengan menimbulkan isu bahasa rojak. Hah! Bahasa yang difokuskan. Jom Heboh lebih betul dan tepat. Ya, budi bahasa budaya kita tetapi BUDAYA JAHILIYYAH BUKAN DARI AGAMA KITA. Dan disini ada anda nampak mana ulama’-ulama’ dunia yang sebentar tadi bangkit menentang isu-isu yang memang ada dalam agama untuk membahaskan isu-isu bertemakan maksiat yang sememangnya jelas dalam Islam? Kalau mereka bersuara hilanglah kedudukan mereka dimata masyarakat kita.

Baru sebentar tadi mengumpul sesuatu dari blog Ustaz Hairul Nizam. Sungguh lawak dan memanaskan hati. Apabila kuasa dan nafsu bergandingan, zakat yang dimain-mainkan. Itukan hak Allah. Tidak mahu saya dituliskan, sila baca untuk kepastian.


SO SWEAT!!!

Itu yang patut dikatakan. Ahli bait menceritakan sesuatu yang dia perolehi hasil kajian ruang maya. Facebook, Friendster, Myspace, Blogger dan sebagainya. Sama-sama bertukar perasaan geram terhadap ayat-ayat sumbang. “So Sweet” “Untungnya U dpt org cam dia” “Semoga bekekalan” “Doakan kami”…..dan banyak lagi gambar dan ayat yang menggelikan sendi serta tulang metatarsals dan phalanges ini untuk menaip. Seakan-akan mereka ‘redha’ terhadap pasangan ajnabi tersebut. Redha dan restu manusia, jangan sampai MURKA ALLAH YANG MENYAPA.


“Ya Allah Tuhanku Yang Merubah Kalbu, Tetapkanlah Hatiku Moga Sentiasa Dalam Agama-Mu, Jua…Taat Akan Perintah-Mu”




Rujukan : Disertakan link pada beberapa perkataan diatas untuk rujukan. Lain-lain rujukan dan sumber bahan ialah koleksi ceramah Ustaz Azhar Idrus dan HarakahDaily.Net


Jangan Baca Post Ini!

Tuesday, May 11, 2010


Kenapa kamu semua masih baca post ini? Ya memang ini blog umum, untuk bacaan semua tapi sebagai pemilik blog ini saya melarang keras kamu semua dari membaca post kali ini. Faham!

Sampai setakat ini kamu masih membaca? Tidak mengapa saya maafkan, tetapi jangan terus membaca lagi selepas perenggan baru dibawah dan lebih-lebih lagi jangan cuba untuk membaca ayat-ayat bertulisan biru. Ingat!

Bukan semua suka dipuji dan bukan semua rela dimaki. Manusia memang hina, tapi bukan kita yang layak menghina. Kita tidak suka dimarahi tapi kita sendiri yang membuat orang lain marahkan kita kerana anda membaca post ini. Masih kamu membaca lagi? Kenapa?!!!

Saya bagi peluang lagi kepada kamu walaupun kamu semua masih membaca, lagi pun ada beberapa ayat yang saya perlu tuliskan dan diwarnakan dengan warna biru. Jadi saya ulangi, jangan membaca lagi dan berhenti disini. Tapi kamu masih membaca.

Petunjuk yang jelas saya akan beri. Habis sahaja ayat pada baris ini akan disambung dengan ayat lain yang bertulisan biru, jadi patuh dengan apa yang saya cakapkan, jangan baca. Tetapi kerana kerasnya kepala dan hati kamu, kamu masih juga membaca. Mengapa?!!!

Bagaimana caranya lagi untuk saya sampaikan kepada kamu? Kamu masih membaca dan terus membaca.

Ayat terakhir dari perenggan ini merupakan ayat terakhir yang akan diwarnakan dengan warna biru, sudah pasti kamu tahu ia akan diwarnakan dengan warna biru kerana kamu berdegil dengan membaca ayat-ayat yang saya sudah tulis sebelumnya. Jadi kamu sudah tahu ia akan berwarna biru dan maksudnya kamu sama sekali dilarang untuk membacanya walaupun yang berwarna hitam juga dilarang untuk dibaca. Kamulah orang yang paling degil, bongkak, sombong, penderhaka dan orang yang zalim!!!

***   ***   ***


Bacalah. Teruskan membaca. Tapi sehingga kini dapatkah kamu semua mengetahui apa yang ingin saya sampaikan? Siapalah saya ini untuk menyuruh kamu semua tunduk dan patuh akan segala yang saya katakan tetapi SIAPALAH KITA UNTUK TIDAK TUNDUK DAN PATUH KEPADA SEGALA SURUHAN DAN LARANGAN YANG TELAH DITETAPKAN ALLAH TAALA!!!

Perumpamaan : Andai kata dari awal lagi kita patuh akan arahan yang diberikan (untuk tidak membaca post), sudah pastinya kita akan jauh daripada melakukan kesalahan-kesalahan yang lain (dengan meneruskan pembacaan dan membaca tulisan biru). Banyak peluang dari saya tapi lebih banyak lagi peluang dari Allah dan terlalu luas pintu taubat yang sentiasa terbuka.

Dalam keadaan yang sering melakukan ketidaktaatan kepada Allah, namun kita masih lagi mampu meneruskan kehidupan disamping segala nikmat kurniaan-Nya. Kerana apa? Dunia ini bukanlah tempat balasan. Jika dunia ini dijadikan tempat balasan, sudah tentu musnah kita semua dan hidupan-hidupan lain. Jika dunia ini tempat balasan, hukum dan azab Allah akan terus menerus turun keatas makhluk-Nya yang derhaka. Binasalah pembuka-pembuka aurat, binasalah orang-orang yang tidak  menjaga ikhtilat, binasalah pelaku-pelaku maksiat dan binasalah umat Nabi Muhammad yang mendustakan kalam-Nya dan mengingkari suruhan kekasih-Nya.

Terlalu banyak dosa kita kepada Pencipta dan banyak daripada dosa-dosa kita itu diampunkan oleh-Nya. Namun sedikit sungguh dari kita yang sedar dan bersyukur.

Katakanlah (wahai Muhammad) : “Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur”. [Al-Mulk : Ayat 23]


“Ya Allah, sesungguhnya kami telah menzalimi diri kami sendiri”



* Khas terutamanya buat diri dan kemudiannya untuk sahabat…

Masjid Untuk Ibu...

Sunday, May 9, 2010


“Abang Hassan penakut, abang Hassan penakut, tak macam abang Ajis.” ejekan kanak-kanak kepada Hassan dalam cerita Sarjan Hassan (1958) : sekali lagi mukaddimah yang tiada kaitan dengan isi kandungan post.
 ********
Syukur kehadrat Ilahi atas setiap kurniaannya walaupun sering dibalas dengan ketidaktaatan. InsyaAllah kali ini ingin berkongsi sedikit kisah ataupun lebih tepatnya sejarah, iaitu salah satu monumen utama dalam sejarah Islam. Terima kasih khas buat AJKT dan ahli MedicalCLICK atas jaulah yang sangat bermanfaat dan berjaya membuka mata ini tentang sejarah-sejarah Islam yang lampau.
 
Masjid Sultan Hassan @ Masjid 4 Mazhab

Masjid ini dibina oleh Sultan Hassan Ibn Al-Nasir Muhammad Ibn Qalawun pada tahun 1356. Diukur dan  memiliki kepanjangan sepanjang 150 meter serta memenuhi kawasan seluas 7,906 meter persegi meletakkan binaan ini sebagai antara monumen yang terbesar dalam dunia Islam. Ada para pengkaji yang mengatakan bahawa batu yang digunakan untuk membina masjid ini berasal dari batuan-batuan piramid. 
 

Berada dalam lingkungan kawasan Sayyeda Aesya, Kaherah dimana terdapat empat buah masjid yang terletak berhampiran diantara satu sama lain iaitu Masjid Sultan Hassan, Masjid Rifa’ie dan dua buah Masjid Uthman. Mufti Mesir, Syeikh Ali Jumaah sering menyampaikan khutbah ketika Solat Jumaat di Masjid Sultan Hassan ini. Masjid ini juga terletak bertentangan dengan Kubu Solahuddin.

Masjid Sultan Hassan juga dikenali sebagai Masjid 4 Mazhab mempunyai madrasah didalamnya. Empat ruangan luas ataupun Iwans di setiap sisi masjid menjadi madrasah yang mana pada masa dahulu menjadi tempat pengajian empat mazhab utama dalam Islam : Hanafi, Syafie, Hanbali & Maliki. Di tepi bahagian setiap Iwan terdapat bilik ataupun perpustakaan yang menyimpan kitab-kitab bagi setiap mazhab tersebut.        
Di tengah-tengah bahagian dalam masjid terdapat ruangan lapang dimana terdapatnya satu binaan yang berkubah iaitu Sahn  yang dikelilingi Iwans. Sahn berfungsi sebagai tempat untuk mengambil wudu’ yang agak unik.  
Struktur binaan masjid yang menarik dan unik ini menghasilkan satu keajaiban. Gema yang kuat hasil dari suara manusia dari dalam masjid mampu menyusur keluar dari binaan masjid membolehkan bilal untuk melaungkan azan tanpa menggunakan sebarang alat pembesar suara. Ia mampu di dengari dari dalam kawasan masjid dan kawasan luar sekitarnya. (sila lihat video dibawah)     Video tambahan : Video 1, Video 2    Lain-lain...
Sebuah kereta diletakkan berhampiran binaan Masjid Sultan Hassan yang besar
Pintu masuk yang besar dengan seni ukir yang halus dari atas ke bawah
Mihrab (kanan) yang menjadi tempat untuk pembaca Al-Quran duduk dan mimbar di hadapan untuk penyampaian khutbah. Kawasan ini juga merupakan salah satu daripada empat Iwan
Bilik menempatkan makam yang terletak dibahagian hadapan masjid. Makam berada dibawah kubah yang dikelilingi ukiran dan corak daripada tembaga
Masjid Dalam Hati
* Segala tambahan dan pembetulan maklumat sangatlah dialu-alukan
~ Selamat Hari Ibu kepada semua wanita sama ada yang sudah berkahwin ataupun belum serta kepada yang sudah mempunyai anak mahupun belum. Bersama-sama kalian adanya syurga dibawah tapak kaki. Semoga dirahmati selalu ~

Masalah & Jawapan : Ikhwah & Akhowat

Monday, May 3, 2010

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani...

Masalah 1
 Jawapan

 Masalah 2
 Jawapan

 Masalah 3
 Jawapan

 Masalah 4
 Jawapan

 Masalah 5
 Jawapan

 Khas buat yang sahabat-sahabat bertanya, meminta, berfikir dan berusaha...


"Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan ; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya ; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat)"
[Al-Ankabut : Ayat 64]