Alhamdulillah wa Syukurillah atas segala nikmat, rahmat dan kasih sayang serta cinta yang dilimpahkan oleh Rabb sekalian alam keatas kita, juga kepada umat-umat terdahulu. Tapi seringkali kita membalasnya dengan kemaksiatan. Astagfirullahal’azim….
Kali ini saya akan berkongsi lagi bacaan saya tetapi akan difokuskan kepada Peringkat Cinta ataupun Maratibul Mahabah daripada Ibnul Qayyim, seorang ulama’ pada abad ke-7. Saya memetik ayat-ayat beliau dari sebuah buku lain yang menggunakan karangan Ibnul Qayyim sebagai rujukan iaitu Ya Allah, Aku Jatuh Cinta. SELAMAT BERMUHASABAH CINTA!
1. Peringkat pertama dan yang paling tinggi adalah TATAYYUM, yang merupakan hak Allah semata. Allah-lah yang paling utama. Tidak ada tandingan dan bandingan. Allah yang pertama dan selalu menjadi yang pertama. Kedudukan-Nya tidak boleh diluncurkan menjadi nombor dua atau tiga. Cinta kita kepada-Nya harus menjadi puncak dari segala cinta yang kita miliki.
2. Peringkat kedua : ‘ISYK yang hanya merupakan hak Rasulullah SAW. Cinta yang melahirkan sikap hormat, patuh, ingin selalu membelanya, mengikuti dan mencontohinya. Kita mencintai Rasulullah SAW dengan segenap konsekuensinya. Kita dengan bangga melaksanakan sunnah-sunnahnya dan mengikuti petunjuknya dalam mengamalkan agama ini. Kita juga akan mencintai kehidupannya yang luhur dan penuh amal soleh. Kita rindu untuk berjumpa dengannya kerana kemuliaan yang ada pada diri baginda. Namun kecintaan kita bukanlah menuntut sebuah penghambaan. Kecintaan menuntut sebuah amal yang meneladani akhlaknya.
3. Peringkat ketiga : SYAUQ iaitu cinta antara mukmin dengan mukmin lainnya. Antara suami isteri, ibu bapa dan anak, yang membuahkan rasa mawaddah wa rahmah. Seorang suami harus mencintai isterinya dengan sepenuh hati. Demikian pula isteri harus memberi cintanya kepada suaminya. Seorang ayah yang begitu memberi perhatian kepada anaknya, mencurahkan cintanya pada buah hatinya. Dia menyayanginya dan rela bekerja siang dan malam untuk anak-anaknya. Selain kerana ibadah kepada-Nya, dia melakukannya juga kerana cinta.
4. Peringkat keempat : SHABABA iaitu cinta sesama Muslim yang melahirkan ukhuwah Islamiah. Cinta ini menuntut sebuah kesabaran untuk menerima perbezaan dan melihatnya sebagai sebuah hikmah yang berharga. Tidak semua perbezaan harus dipaksa sama, tapi terkadang hanya memerlukan sedikit pengertian saja. Cinta ini harus muncul sebagai sebentuk usaha untuk mencipta ketenangan hubungan dalam tubuh umat Islam.
5. Peringkat kelima : ‘ITHF (simpati) yang ditujukan sesama manusia. Rasa simpati ini melahirkan kecenderungan untuk menyelamatkan manusia, temasuk juga di dalamnya adalah berdakwah. Rasa ini seringkali muncul bila sisi kemanusiaan kita tersentuh. Sudut kemanusiaan kita menjadi tersentuh dan ingin menitikkan air mata. Hati kita tidak tega melihat sebuah penderitaan yang tidak kunjung berakhir. Inilah bentuk simpati yang muncul dari hati yang paling dalam.
6. Peringkat keenam adalah cinta yang paling rendah dan sederhana, iaitu cinta atau keinginan kepada selain manusia : harta benda. Namun keinginan ini sebatas INTIFA’ (pemanfaatan). Cinta jenis ini pula yang seringkali menggelincirkan manusia. Ini bukan kerana sifat harta memang selalu melalaikan. Namun bila kita bijak, banyaknya harta benda seharusnya tidak menjadikan kita terlena. Sebaliknya, ia hanya menjadi sarana atau alat untuk meraih cinta yang sebenarnya iaitu cinta pada Allah SWT.
~MUHASABAHLAH DIMANA CINTA DAN KECINTAAN KITA~













0 Wasiat Ditinggalkan:
Post a Comment