Pena Alam Maya

Kalam mutiara dari Syeikh Ibnu Atho'illah As-Sakandari yang ada dinukilkan di dalam kitabnya Al-Hikam : "...Tiada suatu nafas terlepas daripadamu, melainkan di situ pula ada takdir Allah yang berlaku di atasmu..."

Mee Segera!!!

Saturday, November 6, 2010

Beberapa masa lalu sering juga kita dengarkan tentang mee segera ini yang dikatakan tidak baik untuk kesihatan bahkan ada dikalangan ibu bapa yang melarang keras anak-anak mereka daripada memakannya. Saya juga banyak mencari dan bertanya tentang perihal makanan ini tetapi hasilnya kurang memuaskan kerana terdapat banyak ‘khilaf’.

Semalam, soalan mengenai mee segera di laman Cyberclinics.org menjadi tarikan saya. Semoga artikel itu dapat menjelaskan tentang baik dan buruk daripada wujudnya mee segera ini. Biarpun sudah lama tapi apa yang penting ialah ILMU. Sebelum mengetahui kesan dari pemakanan mee segera, mari kita ketahui apa kandungan yang terdapat pada sebungkus mee segera. Maklumat di bawah adalah contoh (kotak seperti ini biasanya ditulis di bahagian belakang bungkusan mee segera) :

Maklumat pemakanan untuk saiz hidangan : 100 g (3.5 oz)

Tenaga 1,895 kJ (453 kcal)
Karbohidrat 65 g
Serat 2.4 g
Lemak 17 g saturated 7.6 g monounsaturated 6.5 g
Protein 9 g
Thiamine (Vit. B1) 0.7 mg (54%)
Riboflavin (Vit. B2) 0.4 mg (27%)
Niacin (Vit. B3) 5.4 mg (36%)
Folate (Vit. B9) 147 μg (37%)
Iron 4.3 mg (34%)
Potassium 120 mg (3%)
Sodium 1160 mg (50%)

* Satu saiz hidangan: 80 g
* Peratus adalah berdasarkan US recommendation untuk dewasa


Ulasan

Karbohidrat yang tinggi, rendah di dalam serat, vitamin dan mineral dan jumlah lemak tepu dan trans lemak yang tinggi. Sebungkus mee segera tidak menepati nutrisi yang diperlukan oleh badan. Rujuk piramid makanan di bawah untuk mengetahui jumlah nutrisi yg diperlukan.


~ Sodium (garam) yang tinggi

Berdasarkan Saranan Pengambilan Sodium Amerika Syarikat, jumlah sodium untuk orang dewasa dan kanak-kanak 4 tahun ke atas ialah 2,400mg/hari. Terdapat beberapa jenama yang kandungan sodiumnya melebihi 3,000 mg sodium per paket. Sodium jika diambil secara berlebihan dan berterusan akan mengundang penyakit tekanan darah tinggi, masalah pada jantung dan kerosakan pada ginjal. Di dalam badan, sodium diproses oleh ginjal. Walaubagaimanapun, apabila pengambilan sodium tinggi, ginjal tidak dapat memproses kesemua sodium. Disebabkan sodium menahan air, isipadu darah di dalam badan meningkat menyebabkan jantung terpaksa bekerja keras untuk mengepam darah.


~ Monosodium Glutamate (MSG)

Sebungkus mee biasanya disertakan sepeket kecil perisa tambahan seperti perisa tomyam, kari atau sup. Perisa tambahan ini mengandungi Monosodium Glutamate (MSG) iaitu bahan kimia yang digunakan sebagai penambah rasa manis, masin, pahit atau masam. Berdasarkan United States Food and Drug Administration (FDA), MSG adalah selamat jika diambil secara sederhana. Namun ,jika berlebihan boleh menyebabkan “Simptom MSG Kompleks” dan memburukkan lagi simptom asma. Simptom MSG kompleks adalah seperti pening, berpeluh, muka menjadi merah (flushing), sakit dada, lemah badan, tekanan pada muka dan kebas pada muka , leher dan tempat-tempat lain. Namun begitu, para pengkaji belum menjumpai bukti kaitan antara MSG dan simptom ini.


~ Lilin (wax)

Ada satu fakta yang mungkin kita tidak tahu, mee segera tersebut biasanya disalut dengan lilin. Fungsi lilin ini adalah untuk mengelakkan mee tersebut dari melekat. Lilin ini mengambil masa 4 hingga 5 hari untuk dinyahkan dari badan. Oleh itu, cara yang terbaik untuk menyediakan mee tersebut ialah dengan :

1. Rebus mee di dalam air
2. Setelah masak, buang air tadi kerana telah bercampur dgn lilin (wax)
3. Rebus sekali lagi dengan air yang lain sehingga mendidih. Ketika ia benar panas, anda boleh mencampurkannya dengan ramuan yang anda inginkan.



~ Dioxin dan bahan seperti hormon

Baru-baru ini timbul kontroversi mengatakan mee segera mengandungi dioxin dan bahan seperti hormon apabila diestrak dari pembungkus dan gam yang digunakan. Apabila air panas ditambah, ini mungkin menyebabkan bahan bahaya ini bercampur dengan kuah mee segera.

*Dioxin ialah kumpulan bahan pencemar terhasil daripada racun rumput, ubat pembasmi kuman dan ejen-ejen lain


Cadangan penulis asal :

  1. Kurangkan pengambilan mee segera jika ia menjadi makanan rutin anda. Cuba jarakkan 4-5 hari.
  2. Masaklah dengan cara yang betul seperti yang dinyatakan di atas.
  3. Tambahkan sayur-sayuran, daging, ayam, ikan atau telur. Ini penting supaya diet seimbang dapat dicapai.
  4. Rajinkan diri untuk memasak makanan yang lebih berkhasiat.


Rujukan : http://cyberclinics.org/
(diolah untuk memudahkan pembacaan)

Susu...

Friday, October 29, 2010


Kajian telah mengesahkan bahawa bayi yang hanya diberi susu ibu selama 6 bulan pertama dapat mengurangkan jumlah dan bahaya jangkitan terhadap bayi tersebut. Kajian yang dilakukan keatas hampir 1,000 orang bayi menunjukkan bayi yang diberi hanya susu ibu dalam tempoh 6 bulan mendapat jangkitan yang jauh lebih sedikit berbanding bayi yang diberi susu ibu bukan secara berterusan atau tidak diberi sama sekali.

Penyusuan dengan susu ibu secara separa tidak memberi perlindungan yang sama seperti penyusuan susu ibu semata-mata secara berterusan. Apabila diserang jangkitan, kesan penyakit tersebut kurang teruk kepada bayi yang diberikan susu ibu untuk tempoh 6 bulan pertamanya. Para Penyelidik melihat bahawa lebih lama seseorang bayi itu menerima penyusuan dari ibu, lebih rendah risiko bayi tersebut untuk mendapat sebarang jangkitan.

Susu ibu baik untuk bayi mungkin disebabkan kandungan nutrisi dan perlindungan imunisasi yang terkandung pada susu tersebut. Anti-body yang terdapat didalam susu ibu membantu dalam mengembangkan pertumbuhan sistem imunisasi badan bayi seterusnya melindungi mereka dari sebarang jangkitan. Tambahan pula susu ibu mengandungi banyak nutrisi penting yang wujud dalam bentuk yang lebih mudah diserap berbanding yang ada pada susu formula. 

Sirah – Halimah Ibu Susuan Rasulullah

Lari sebentar dari sains untuk melihat kisah Nabi junjungan kita Nabi Muhammad SAW yang mana Halimah al Sadiah mendapat kemuliaan dengan menyusukan baginda. Suatu hari Halimah keluar dengan menunggang kedainya dan membawa seekor unta tua yang tidak mengeluarkan susunya walaupun setitis. Beliau bersama rombongannya pergi ke kota Makkah untuk mencari anak-anak yang boleh disusu. Setiap wanita dari rombongan itu telah dipelawa untuk menyusukan Nabi tetapi mereka menolak dengan alasan baginda adalah anak yatim dan mereka tidak akan mendapat apa-apa kebaikan darinya.

Kesemua wanita dari rombongan tersebut telah mendapat anak susuan masing-masing kecuali Halimah. Ketika semua bersiap hendak berangkat pulang Halimah berkata kepada suaminya bahawa yang dia tidak suka untuk pulang bersama wanita-wanita lain tanpa membawa anak susuan. Lalu Halimah membawa baginda pulang bersamanya sebagai anak susuan kerana tiada pilihan yang lain. Ketika di kamar, Nabi terus menyusu sehingga kenyang kemudian Halimah menyusukan pula anaknya sehingga kenyang. Kemudian Nabi dan anak kepada Halimah tidur dengan lena. Suami Halimah melihat unta mereka dan ternyata kantung unta itu dipenuhi susu lalu diperahnya dan mereka minum berdua sehingga hilang rasa haus dan lapar.

Keesokan harinya rombongan tersebut meneruskan perjalanan pulang. Pada ketika itu kedai Halimah berjalan dengan pantas dan melintasi rombongannya padahal mereka telah berangkat lebih awal. Akhirnya mereka tiba di perkampungan Bani Sa’ad yang sangat tandus dan tidak ada apa-apa untuk dihasilkan. Diceritakan setelah tinggalnya baginda di situ, kambing-kambing kepunyaan Halimah banyak mengeluarkan susu berbanding kepunyaan jiran-jirannya yang langsung tidak mengeluarkan susu sehingga ada yang berkata, “Pindahkanlah kambing-kambing kita ke tempat pengembalaan kambing-kambing puteri Abu Zu’aib (Halimah)”.


Rujukan : HealthyMuslim.Com &  Buku Bibliografi Bercahaya Muhammad Rasulullah SAW

Clock....Wise???

Friday, October 15, 2010

Syukur & segala puji bagi Allah yang mana nikmat kurniaan-Nya sejak zaman Nabi Adam sehingga kini tidak putus-putus, yang nilainya juga tidak sampai dari setitik air laut yang diambil dengan hujung jarum. Selawat dan salam buat nabi junjungan beserta ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda yang dengan merekalah kita apa yang kita sekarang, yang dengan merekalah kita dijalan kita sekarang.

Lama tidak menulis bukan kerana kekosongan ilmu tetapi baru sedar akan sifat tamak dan kedekut yang ada pada diri. Sedikit demi sedikit yang diperolehi dan dengan yang sedikit itulah kita memberi. Dengan yang sedikit itulah sebenarnya mencukupi.

Di dapur Wisma Melaka dan dikelilingi manusia-manusia yang masing-masing ada kepakarannya. Niat untuk belajar dan disitu tempat bermula. Ketika dengan malasnya mengacau bahan-bahan campuran untuk memasak nasi ayam, tukang masak utama bersuara perlahan...

“Kacau ikut lawan arah jam…” kata si penuntut perubatan Ain Shams.

Terkesima sebentar. “Kenapa?”

“Semua benda ikut lawan arah jam…” sambungnya dengan suara monotonus.

Seorang lagi yang mempunyai kepakaran yang sama dalam  memasak, tambahan pula penuntut pengajian Islam Al-Azhar bersuara “Semua benda dalam dunia ni ikut lawan arah jam kecuali jam. Jam sahaja yang ikut arah jam...”


Manusia sering melawan Pencipta !

Raya Yang Sebenar...

Friday, September 10, 2010



Sempena hari raya ini, marilah sama-sama kita merenung sebuah hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, berkaitan dengan konsep 'Hari Raya' yang lebih luas. Menurutnya, Nabi Muhammad SAW bersabda hari raya yang sebenarnya bagi orang beriman itu ada pada 5 keadaan:

1. Setiap hari ia berjalan dan bertemu seorang yang beriman serta ia tidak melakukan sebarang dosa, itu ialah hari raya baginya.

2. Hari keluarnya dari dunia dengan penuh keimanan dari tipu daya syaitan

3. Hari menyeberang Siratul Mustakim dan terselamat dari bencana jatuh ke dalam api neraka

4. Hari kita masuk syurga dengan selamat dan terlepas dari api neraka

5. Hari ia menatap wajah Allah Ta'ala

Menurut Nabi Muhammad SAW, hari raya bagi setiap orang beriman ada pada 5 ketika; iaitu setiap hari yang dia tidak melakukan sebarang dosa, saat meninggal dunia dalam husnul-khatimah, hari berjaya melintasi Siratul-Mustakim dan terselamat dari masuk ke neraka, masuk ke dalam syurga dan hari dia mengadap Allah Taala.

Menjauhi Dosa

Sekiranya kita tidak melakukan sebarang dosa pada sesuatu hari, itu adalah hari raya bagi kita. Kalaulah kita berusaha sungguh-sungguh menghindarkan diri melakukan sebarang dosa dengan menjauhi larangan Allah serta mematuhi segala perintah Allah, hari itu adalah sebenarnya hari yang harus dirayakan.

Saat menghembuskan nafas terakhir dengan penuh keimanan dari tipu daya syaitan juga termasuk dalam 'hari raya' yang dimaksudkan oleh Nabi Muhammad SAW. Saat sakratul-maut adalah masa yang paling genting bagi setiap individu. Kesakitannya yang amat sangat bukan saja menimpa jasad bahkan rohnya juga; seperti yang digambarkan oleh ulama kesakitannya lebih dahsyat daripada dipalu dengan 1000 pedang, atau digunting dengan beberapa gunting atau digergaji dengan beberapa gergaji. Malahan dikatakan saat sakrat adalah hari kiamat bagi si-mati.

Sakaratul Maut

Menurut Imam Ghazali kesusahan mati itu 3, pertama kesakitan sakaratul maut, kedua kesusahan melihat kedatangan malaikat maut dengan mukanya yang amat bengis dan ketiga, kesusahan jika dinampakkan tempat kediaman di neraka (jika ahli maksiat). Sudahlah tidak tertahan dengan kedahsyatan yang amat sangat, syaitan pula sibuk menangguk di air keruh. Di saat inilah dia menjalankan taktik dan strategi terakhir untuk menumpaskan kita.

Hanya orang yang Allah tetapkan mati dalam husnul khatimah saja terlepas dari tipu dayanya. Berjayanya kita di saat ini barulah kita dapat menikmati hari raya sebenarnya. Namun alam perkuburan merupakan alam yang penuh dengan peristiwa-peristiwa dahsyat. Bagi orang mukmin, ia merupakan satu taman dari taman-taman syurga, sebaliknya bagi orang kafir, alam barzakh adalah satu pintu dari pintu neraka.



Jambatan Menuju Syurga/Neraka

Hari raya seterusnya adalah hari kita berjaya melepasi api neraka selepas merentas titian Siratul Mustaqim. Sebelum menyeberang jambatan yang direntang di atas kawah neraka, setiap individu disoal dan ditimbang amalan baik dan jahatnya. Selesai dari segala perhitungan tersebut barulah diperintah meniti titian yang sangat tajam dan sangat halus ini. Orang yang mengikut jalan lurus semasa di dunia selamat menyeberang dengan kelajuan yang pantas.

Malangnya mereka yang menyeleweng dari jalan lurus di dunia gagal dan jatuh ke dalam api neraka. Bayangkan betapa dahsyat dan ngerinya berada di jambatan yang di bawahnya terdapat lautan api yang sentiasa mengait sesiapa saja yang berdosa. Andainya terlepas dari tercebur ke neraka, barulah boleh kita berhari raya.

Syurga

Hari kita masuk syurga adalah hari raya seterusnya bagi orang beriman. Terlepasnya dari neraka bermakna kita akan dimasukkan ke dalam syurga yang penuh dengan kenikmatan dan kelazatan. Syurga adalah tempat manusia pilihan. Penghuni-penguni syurga dengan muka yang berseri-seri diberikan kerajaan yang sangat luas dengan mahligai yang besar serta menikmati pelbagai juadah yang lazat-lazat. Pendeknya mereka beroleh segala kelazatan dan terhindar dari segala seksa. Inilah sebenarnya hari raya bagi orang mukmin.

Bertemu ALLAH

Hari raya yang paling meggembirakan orang beriman ialah di saat memandang wajah Agung Ilahi. Inilah kenikmatan yang paling agung dan lazat sehingga terlupa kelazatan dan kenikmatan syurga. Ia merupakan puncak atau klimaks kenikmatan orang beriman.

Memandangkan kita belum pun menempuh saat-saat di atas, sepatutnya kita berasa cemas dan berwaspada. Dalam masa kita bersuka ria menyambut hari raya ini, lintaskanlah di hati sanubari kita bahawa hari raya sebenarnya belum kita tempuhi lagi. Amat jauh terpesongnya budaya kita yang menyambut hari raya dengan maksiat seperti hiburan, nyanyian, tarian dan pelbagai kegilaan yang melupakan kita akan hari raya sebenarnya.

Aidilfitri hanya satu gambaran atau tamsilan bagi kita merenung bahawa Allah akan membalas dengan ganjaran baik jika berjaya melepasi rintangan hawa nafsu dan mengendalikan hidup mengikut cara yang Allah redhai.

Mudah-mudahan hari raya yang kita hadapi ini tidak berakhir di sini saja, sama-samalah kita berdoa semoga ia berterusan sehinggalah kita berjaya melepasi sakaratul-maut, titian Siratul-Mustaqim, menjadi penghuni syurga dan akhirnya mengadap zat Allah Taala di syurga kelak.

 Syukran buat adik-adik My Soff  01

Lailatulqadar...

Friday, September 3, 2010


Imam Hasan al-Basri, berkata antara tanda malam lailatulqadar ialah suasana malamya tenang, damai, tenteram,tidak panas dan tidak terlalu dingin

Air laut juga kelihatan jernih, anjing tidak banyak menyalak dan matahari terbit keesokan paginya dengan sinar putih bersih dan cahaya yang redup

Dalam Sahih Muslim dinyatakan bahwa pada malam lailatulqadar seramai 70,000 malaikat turun dari Sidratul Muntaha ke bumi

Malaikat membawa rahmat Allah memasuki rumah serta memberi salam kepada orang Islam kecuali rumah yang mempunyai anjing, khinzir, arak dan patung

Malaikat akan naik semula ke langit secara serentak dengan sayap puluhan ribu malaikat itu melindungi pancaran panas matahari menyebabkan suasana di bumi dingin dan tenang

Sesiapa yang menyedari tanda itu, mereka hendaklah meningkatkan amalan dan berdoa sepanjang hari sebagaimana ketekunan ibadahnya di malam hari

Malam lailatulqadar adalah malam yang penuh rahsia. Hanya Allah mengetahui bila ia terjadi. Rasulullah sangat menggalakkan umatnya mencari peluang beriktikaf di malam lailatulqadar. Aisyah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda : “Carilah malam lailatulqadar pada bilangan ganjil dalam tempoh sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.” [Hadith Riwayat Bukhari, Muslim, At-Tarmidzi dan Ibnu Majah]

Mengikut Anas daripada Nabi menyatakan bahawa : “Allah menganugerahkan kepada umatku (Muhammad) lailatulqadar dan tidak diberikan kepada umat sebelumnya.”

Bahawa Aisyah bertanya kepada Rasulullah : “Wahai Rasulullah, sekiranya aku berada pada lailatulqadar, apakah yang perlu aku buat?” Baginda menjawab : “Katakanlah : Allahumma innaka ‘afuwun tuhibbu al-afwa fa’fua’anni (Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihi untuk mengampun, maka ampunilah aku).” [Hadith Riwayat Imam Ibnu Majah]

“Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.”
[Surah Al-Qadr : Ayat 3]

University of Ramadhan
Bachelor of Taqwa