Allahuakbar!!!
Terdetik di hati kerana ilham dari-Nya untuk berkongsi sedikit ilmu yang telah lama diperolehi daripada Ustaz Salman, melalui sesi pengajian kelas tafaqquh di Madrasah Imam Nawawi.
Menghadap kiblat ialah antara salah satu diantara 8 syarat sah solat. Ia bermaksud, hendaklah seseorang yang bersolat menghadap ke zat Kaabah dengan dadanya. Dalil kepada kewajipan meghadap kiblat ialah seperti yang terdapat didalam Surah Al-Baqarah : Ayat 149
“Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjid Al-Haraam (Kaabah)…”
Perkara yang menjadi kewajipan menghadap kiblat ialah dengan dada ; secara hakikatnya semasa berdiri dan duduk serta secara majaj iaitu semasa rukuk dan sujud. Adapun anggota-anggota yang lain seperti muka, tangan dan kaki hanyalah sunat untuk dihadapkan kearahnya.
Bagaimana jika seseorang itu solat didalam Kaabah? Dalam keadaan ini, mereka yang bersolat didalam Kaabah wajib menghadap benda yang tegak dari mana-mana binaan Kaabah, sekurang-kurangnya berketinggian 2/3 hasta atau lebih seperti pintu yang ditutup ataupun bendul pintu. Seandainya binaan Kaabah runtuh, tidak sah solat jika seseorang itu solat di dalam Kaabah dan menghadap ke arah kawasan yang kosong (lompong) itu.
Apabila disebut menghadap zat Kaabah, sekiranya sedikit pun melencong menyebabkan solat itu tidak sah. Mengikut Mazhab Syafie dalam pendapatnya yang baru ketika berfatwa di Mesir, perlu menghadap zat Kaabah. Tetapi, pendapat dari jumhur ulama’ (Mazhab Maliki, Hambali & Hanafi) mengatakan menghadap kiblat bukanlah zat Kaabah tetapi arah Kaabah, melalui hadith Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Diantara timur dan barat adalah kiblat” [HR Tarmizi]
Mengikut pendapat jumhur, sah apabila solat dengan menghadap arah kiblat, bukannya zat Kaabah.
Apabila solat dalam keadaan jemaah yg besar atau saf yang panjang, semestinya saf itu melebihi lebar Kaabah dan terkeluar dari menghadap zat Kaabah. Oleh itu, kita boleh menggunakan pendapat jumhur ulama’ iaitu menghadap arah Kaabah, antara lingkungan 70 darjah ke kiri dan ke kanan.
Dikecualikan beberapa masalah yang tidak disyaratkan menghadap kiblat seperti :
1) Solat sunat ketika musafir yang harus ke tempat yang mana apabila keluar tidak akan didengari azan Jumaat sekiranya lengkap syarat-syarat qasar yang akan datang
2) Solat ketika dalam keadaan yang terlalu takut (e.g. semasa perang, kecemasan)
3) Orang-orang yang tidak mampu menghadap kiblat (e.g. sakit - tiada orang yang membantunya, orang yang tenggelam, orang yang diikat pada kayu atau disalib) maka solat ikut kemampuan
Dalam Mazhab Syafie, bagi keadaan ke-3 sahaja yang diperlukan untuk diulang semula solat, manakala Imam Muzanni berpendapat wajib solat dalam waktu dengan melakukan yang termampu serta tidak perlu diulang dan inilah yang Imam Nawawi katakan dalil yang paling kuat.
Wallahu subhânahu wa ta'âlâ a'lam…
Rujukan : Kitab Nil Roja’ karangan As-Sayyid Ahmad Bin Umar Asy-Syatiri








0 Wasiat Ditinggalkan:
Post a Comment