Pena Alam Maya

Kalam mutiara dari Syeikh Ibnu Atho'illah As-Sakandari yang ada dinukilkan di dalam kitabnya Al-Hikam : "...Tiada suatu nafas terlepas daripadamu, melainkan di situ pula ada takdir Allah yang berlaku di atasmu..."

"Selamat Pagi Cikgu!"

Wednesday, April 21, 2010


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.
Segala puji bagi Allah yang setiap pujian hanya layak untuk-Nya. Syukur jua atas segala nikmat masa dan kesihatan kurniaan-Nya. Berbesar hati untuk dikongsikan bersama iaitu beberapa adab yang telah ditulis oleh Al-Imam Hujjatul Islam Abu Hamid Al-Ghazali didalam kitabnya Bidayatul Hidayah (Permulaan Jalan Hidayah) tentang adab-adab seorang murid.

Menuntut ilmu ialah kewajipan bagi setiap orang Islam dan apabila digelar sebagai penuntut ilmu, maka padanya mestilah ada seseorang yang dinamakan guru. Antara adab-adab seorang murid terhadap gurunya seperti yang dinyatakan oleh Imam Ghazali didalam kitabnya ialah:

1.      Apabila ia menemui gurunya maka hendaklah ia memberi salam kepadanya terlebih dahulu
2.      Jangan membanyakkan bercakap-cakap di hadapan gurunya
3.      Jangan ia bercakap-cakap sebelum gurunya bertanya kepadanya
4.      Jangan ia bertanya kepada gurunya sebelum ia meminta izin
5.      Jangan ia menyangkal (menunjukkan rasa tidak puas hati) terhadap perkataan gurunya seperti ia berkata si pulan itu menyalahi akan yang engkau kata itu
6.      Jangan ia mengisyaratkan kepada gurunya dengan menyalahi pendapatnya maka ia menyangka bahawa ia lebih mengetahui daripada gurunya
7.      Jangan ia berbisik dengan orang yang duduk di tepinya ketika gurunya memberikan pelajaran
8.      Jangan ia berpaling ke kiri dan ke kanan di hadapan gurunya tetapi hendaklah ia menundukkan kepalanya dengan penuh tenang lagi beradab seolah-olah dia sedang bersembahyang
9.      Jangan ia membanyakkan soalan kepada gurunya ketika ia letih
10.  Apabila gurunya berdiri hendaklah ia berdiri untuk menghormatinya
11.  Jangan mengikut gurunya dengan perkataan atau soalan ketika ia bangkit dari majlisnya
12.  Jangan bertanya kepada gurunya di tengah jalan sehingga ia sampai ke rumahnya atau ke tempat duduknya
13.  Jangan jahat sangka terhadap gurunya apabila ia melihat gurunya mengerjakan sesuatu pekerjaan yang pada zahirnya menyalahi ilmunya (bukan menyalahi agama) maka gurunya itu adalah lebih mengetahui dengan rahsia segala perbuatannya dalam hal ini hendaklah ia mengingati akan perkataan Nabi Musa A.S. bagi Nabi Khidir A.S. seperti yang disebutkan didalam Al-Quran:

Maksudnya : Nabi Musa berkata : "Patutkah engkau membocorkannya sedang akibat perbuatan itu menenggelamkan penumpang-penumpangnya? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perkara yang besar.” [Al-Kahfi : Ayat 71] *

Maka hendaklah ia mengingati bahawa sebenarnya dia yang tersalah pada keingkarannya itu. Kerana ia hanya memandang hukum yang zahir pada sisinya sahaja.

Berikut merupakan peringatan buat diri dan sahabat-sahabat yang sedang menuntut ilmu. Semoga ilmu yang diperolehi mendapat keberkatan dan mudah untuk diamalkan.  Biiznillah...



* Lihat kisah Nabi Musa A.S. dengan Nabi Khidir A.S. dalam Surah Al-Kahfi Ayat 60-82
Rujukan : Kitab Bidayatul Hidayah karangan Al-Imam Hujjatul Islam Abu Hamid Al-Ghazali

0 Wasiat Ditinggalkan:

Post a Comment