Kalam mutiara dari Syeikh Ibnu Atho'illah As-Sakandari yang ada dinukilkan di dalam kitabnya Al-Hikam : "...Tiada suatu nafas terlepas daripadamu, melainkan di situ pula ada takdir Allah yang berlaku di atasmu..."
Showing posts with label Malaysia - Mesir. Show all posts
Showing posts with label Malaysia - Mesir. Show all posts
Alhamdulillah, setinggi-tinggi syukur dipanjatkan kehadrat Ilahi kerana hanya Dia sahaja yang tahu kepada siapa hidayah-Nya akan diberikan. Hati penuh kegembiraan melihat sahabat-sahabat ikhwah mengenakan pakaian yang tepat sepertimana yang digariskan dalam Islam ketika bersama-sama beriadah di Istad semalam. Semoga hidayah-Nya berterusan mencurah keatas diri ini dan seluruh warga Mansurah. Ameen...
Sebaik sahaja tiba di kawasan Hussin, kedengaran suara yang berpunca dari pembesar suara Masjid Al-Azhar. Selesai solat Asar di Masjid Al-Azhar, mata meliar mencari pelajar Malaysia. Kaki melangkah semula dalam kawasan untuk mencari punca sebenar suara yang kedengaran di sekitar kawasan Hussin.
Sebaik sahaja melangkah masuk ke dewan solat utama yang menempatkan mimbar, kelihatan seseorang yang tidak asing sedang berucap sambil duduk diatas kerusi. Syeikh Asyraf Hamid Hasanain sedang memberi tazkirah. Duduk sebentar untuk melihat wajah dan mendengar ucapan dari Imam 2 Masjid Al-Azhar itu meskipun tidak faham apa yang disampaikan. Selesai sahaja ucapan, orang ramai yang mendengar tazkirahnya pantas bangun dan menuju ke arah beliau untuk bersalaman. Tidak mahu terlepas untuk mengambil keberkatan, dengan pantas menghampiri Syeikh Asyraf untuk bersalaman dan mengucup tangan Ahli Bait Rasulullah SAW itu.
Langkah diteruskan, menumpukan kepada tujuan asal. Mata menangkap gerak geri pelajar Malaysia yang sedang berjalan pantas ke suatu tempat. Akhirnya ditemukan dengan satu ruangan dalam masjid yang seakan-akan bilik. Dari luar kelihatan susuk tubuh seorang yang tua duduk diatas kerusi. Melangkah masuk dan duduk. Melihat beberapa ciri pada lelaki tersebut dan menjeling pada kitab yang dipegang oleh beberapa orang disitu. Akhirnya sampai jua.
Kelas pengajian Syeikh Toha Hibisyi Ad-Dusuqi. Beliau mensyarahkan kitab Jauharah Tauhid yang matannya ditulis oleh Imam Al-Laqoni dalam masa satu malam. Subhanallah! Terdapat satu lagi perkara yang mengagumkan dalam kelas pengajian ini. Sebelum ini hanya mendengar cerita, tetapi kini diperlihatkan-Nya. Prof. Dr. Toha, bekas Ketua Jabatan Akidah dan Falsafah, Kuliah Usuludin, Universiti Al-Azhar. Meskipun tidak dapat melihat dengan jelas secara zahir akibat penyakit katarak, namun beliau mampu mensyarahkan kitab Jauharah Tauhid itu dengan mantap serta mengikut turutan kitab. Maha Suci Allah.
Di akhir kelas, biarpun tidak memahami tetapi masih berpuas hati. Alhamdulillah kerana dikurniakan tiga orang sahabat, pelajar tahun dua kuliah Usuludin untuk menerangkan apa yang dipelajari. Lahir dalam keturunan mulia berketurunan Saidina Hassan RA, tiada yang ingin melepaskan peluang bersalaman dengan beliau. Rindu itu akan datang semula dan rindu itu akan membawa diri ini kembali lagi.
***** ***** *****
Talak
“Perkara halal yang paling dimurkai oleh Allah Taala ialah talak”
[HR Abu Daud]
Talak dari segi bahasa ialah melepas atau terlepas
Talak dari segi syarak ialah merungkai ikatan perkahwinan dengan lafaz talak & sebagainya
Talak sah dilakukan secara talak tanjiz (dilaksanakan terus). Ia juga sah dilakukan secara talak ta’lik (tergantung). Maksud talak ta’lik (talak tergantung) ialah suami mengaitkan talak dengan sesuatu sifat atau syarat, sama ada mempunyai hubungan dengan isterinya atau orang lain.
Contoh talak ta’lik yang dikaitkan dengan sifat ialah suami berkata : “Aku ceraikan kamu ketika kedatangan ayah kamu” atau “Aku ceraikan kamu di bulan Ramadhan”. Oleh itu isteri akan jatuh talaknya apabila ayahnya datang atau apabila masuknya bulan Ramadhan.
Contoh talak ta’lik yang dikaitkan dengan syarat ialah suami berkata : “Aku ceraikan kamu jika kamu keluar dari rumah ini” atau “Aku ceraikan kamu jika saudaramu masuk ke rumah ini”. Talak akan jatuh jika isteri keluar dari rumah itu atau apabila saudaranya masuk ke dalam rumah itu.
Kesan Talak Ta’lik
Kesan-kesan yang timbul daripada talak ta’lik ialah :
… Talak tidak akan berlaku selagi perkara yang dikaitkan dengan talak itu masih belum berlaku
… Kehidupan suami isteri akan berterusan secara sempurna daripada segi hukum-hakam & kewajipannya selagi syarat yang disebutkan dalam talak ta’lik belum berlaku, walaupun ia pasti berlaku seperti suami berkata : “Apabila datangnya bulan Ramadhan aku ceraikan kamu”
…Talak akan jatuh sebaik sahaja syarat yang disebutkan dalam talak ta’lik berlaku. Suami tidak perlu melafazkan talak yang baru
Sebagai tambahan berkenaan masalah dan persoalan mengenai talak, sila berkunjung ke blog Ustaz Nazrul Nasir.
Wallahua’lam…
Rujukan : Fiqh Manhaji (Kitab Feqah Imam Syafie) Jilid 4 Bab 14
Ustaz Basith : "Mahal pelajar-pelajar Mesir ni dengan kat Malaysia sebab kat sini ada ulama'-ulama'..."
Alhamdulillah...Syukur atas ketenangan yang dikurniakan Allah SWT dengan duduk dan berada disekeliling orang-orang yang bersungguh-sungguh menuntut ilmu-Nya, pelajar pengajian Islam. Angin bandar Kaherah berlainan dengan Mansurah. Begitu juga perasaan.
Alhamdulillah sekali lagi dan sepatutnya sentiasa dilafazkan. Baru-baru ini saya berkesempatan menghadirkan diri ke dua majlis akad nikah. Pasangan pertama Ustaz Syafiq (Melaka) dan isterinya Ustazah Aini Juwita (Singapura). Majlis akad nikah diadakan di Masjid Salam di Hayyu Asyir sekitar pulul 10.30 pagi. Duduk dibelakang saksi untuk melihat sendiri apa prosedur yang dijalankan. Semoga mendapat keberkatan.
Pada hari yang sama, dalam pukul 12.30 tengahari bertempat di Surau Rumah Terengganu berlangsungnya satu lagi majlis akad nikah. Pasangan kali ini ialah Ustaz Muzani (Terengganu-Melaka) dan Ustazah Nurul Aini Hasmidar (Terengganu). Kali ini duduk berjauhan sedikit tetapi berhampiran dua orang yang penting, Dr. Che Mohd. Nur Anas, bakal pengantin dan Ustaz Syahrul, pengantin baru. Semoga Allah mengurniakan kebaikan yang ada pada diri mereka untuk diri ini.
Ingin berkongsi beberapa perkara yang menarik dan semoga ada kebaikan padanya. Majlis akad nikah mereka dijalankan beberapa minggu sebelum peperiksaan akhir tahun mereka, penuntut Universiti Al-Azhar. Kesemua pasangan juga merupakan pelajar Tahun 1 Universiti Al-Azhar. Nampak, tidak terlalu muda bagi mereka dan bukan umur jadi halangan tapi sunnah Rasulullah SAW yang ditegakkan. Dan yang mengagumkan saya ialah kedua-dua pengantin lelaki hanya melafazkan akad dengan sekali lafaz. Allahuakbar!
Ada berapa perkara lagi yang baru dipelajari ketika berada di majlis akad nikah mereka, hasil penerangan juru nikah bertauliah dan juga pegawai Johor di Mesir, Ustaz Hanif. Khutbah yang disampaikan sangat ringkas tapi menarik perhatian. Talak ialah salah suatu perkara yang halal tetapi ia adalah perkara halal yang paling tidak disukai Allah. Ingin rasanya berkongsi tentang takliq, salah satu bentuk talak yang dilafazkan oleh pengantin lelaki selesai sahaja akad nikah dan ianya diharuskan dalam agama. Mungkin akan diceritakan pada post akan datang kerana ingin mengumpul sedikit lagi ilmu dan maklumat mengenainya.
Semoga dipermudahkan.
Daripada Abu Ayub RA, Rasulullah SAW bersabda : "Empat perkara yang merupakan sunnah para rasul iaitu malu, memakai wangian dan berkahwin." [HR Tarmizi]
Perkongsian...Akan dihuraikan kemudian
Terdengar kata-kata dan falsafah daripada pembacaan beberapa orang ustaz.
Perempuan yang belajar tinggi-tinggi semua EGO! Betulkah???
Diberi perumpamaan lain. Semua tiang tegak, tapi sudahkah engkau lihat semua tiang didunia?
Jadi, perempuan yang belajar tinggi-tinggi semua ego. Sudahkah engkau berjumpa dengan semua perempuan didunia ini? Fikir-fikirkan.
- Tahniah dan Selamat Pengantin Baru buat kesemua pasangan
- Sepanjang sesi 2009/2010 ini sudah enam pasangan dari ahli negeri Melaka di Mesir yang telah mendirikan rumah tangga
- Tahniah buat Ustaz Abd. Hakim (Perak) dan Ustazah Nurhamizah (Melaka) atas kelahiran puteri sulung mereka, Tasneem
- Ustaz Syafiq dan Ustazah Aini Juwita akan berpindah dan tinggal di Dirasat, Mansurah
Masih meneruskan perjalanan ke setiap pelusuk Bumi Anbia' dalam mencari permata yang tidak ternilai harganya di celah-celah debu Mesir... Aku manusia, pelakon cerita di pementasan alam ciptaan-Nya. Bukan sengaja melanggar arahan, kadang terlupa watak dan peranan. Aku manusia!!!