Pena Alam Maya

Kalam mutiara dari Syeikh Ibnu Atho'illah As-Sakandari yang ada dinukilkan di dalam kitabnya Al-Hikam : "...Tiada suatu nafas terlepas daripadamu, melainkan di situ pula ada takdir Allah yang berlaku di atasmu..."

ALLAH Menegur Amalan AKU…Mungkin Jua KAMU

Thursday, April 7, 2011

Astaghfirullahala’zim…
Ampuni diriku Ya Allah di setiap gerak yang aku lakukan…
Sesungguhnya aku telah menzalimi diri sendiri…

Dalam kedukaan terhadap dosa-dosa, syukur kepada Allah kerana ada yang sudi memberi nasihat. Itulah sebaik-baik sahabat, tidak biarkan sahabatnya yang lain hanyut dengan dosa bahkan tidak putus-putus menarik ke tepian dari hanyut ke tengah lautan walau yang dicampakkan hanya seutas benang untuk menarik jasad seseorang.

“Bersyukur dengan dosa kita yang lalu sebab dosa itu buat kita rasa hina dan tidak sombong dengan amalan kita…” Hairiezal

Ya Allah mungkinkah ibadah aku sebelum ini bukan untuk Engkau, jika benar nescaya sia-sialah ibadah itu dan memang patut ia tidak memberi ketenangan kepadaku sebaliknya mendatangkan keresahan dan membawa aku jauh dari rahmat-Mu.

Terdapat banyak hadith Nabi yang menyebut berkenaan dengan sebaik-baik ilmu dan amal antaranya beriman dengan Allah, solat pada awal waktu, berbuat baik kepada ibu bapa, jihad fisabilillah, zikir dengan kalimah la ilaha illallah, qiamullail, belajar dan mengajar Al-Quran dan lain-lain lagi. Namun terdapat satu lagi kalam indah dari seorang ulama’ sufi yang mampu meninggalkan peringatan selamanya buat diri ini. Fudhail Bin Iyadh pernah berkata :

“Sebaik-baik ilmu dan amal ialah apa yang sembunyi dari manusia…”

Tatkala kehidupan harian kita dihiasi ibadah, tiba-tiba dosa dan maksiat datang mencelah. Barangkali itu teguran Allah tentang amalan yang pernah kita lakukan. Mungkinkah kita telah mensyirikkan Allah dengan amalan??? Na’uzubillah minzalik…

Ampuni kami Ya Allah kerana menduakan-Mu dalam ibadah kami. Mendatangkan sesuatu yang lain ketika menghadap-Mu. Dan mencampuri urusan dunia kami dengan urusan akhirat-Mu.


Tanda Penerimaan Amalan

Ketika soalan ini diajukan kepada sebahagian arifin tentang hal ini, lantas dijawabnya :

“Kamu lupa kepadanya (amalan) dan terputus pandangan kamu daripadanya (amalan) sama sekali…”

Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah Fatir ayat 10 yang bermaksud :

“Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada Allah-lah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan), dan amal yang soleh pula diangkatnya naik (sebagai amal yang makbul, yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya). Dan sebaliknya : Orang yang merancang kejahatan (untuk mendapat kemuliaan), adalah bagi mereka azab seksa yang berat dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan) akan rosak binasa…”

Syeikh Abu Abdullah Al-Quraisyi telah berkata tentang amalan orang yang tidak merasai kemanisan dalam hatinya :

“Sesungguhnya di sisi kamu ada anak perempuan iblis, iaitu dunia. Tidak dapat tidak seorang ayah akan menziarahi anak perempuannya itu di rumahnya, iaitu hati kamu, dan tidak memberi kesan kemasukan ziarahnya itu melainkan kerosakan…”

Wallahu’alam…


Rujukan : Soal Jawab A-Z Tentang Tasawuf Tapi Anda Tiada Tempat Untuk Bertanya…

2 Wasiat Ditinggalkan:

HIKMAH ZAKARIA said...

Subhanallah...

nurain vivian said...

assalamualaikum...

sesungguhnya hanya Allah Maha Mengetahui sejauh mana eloknya amalan kita..

janganlah kita sibuk menghitung berapa banyak amalan yang telah kita buat pada hari ini..tetapi sibukkanlah menambah&perbetulkn amalan kerana belum tentu amalan kita diterima Allah...

Post a Comment