Pena Alam Maya

Kalam mutiara dari Syeikh Ibnu Atho'illah As-Sakandari yang ada dinukilkan di dalam kitabnya Al-Hikam : "...Tiada suatu nafas terlepas daripadamu, melainkan di situ pula ada takdir Allah yang berlaku di atasmu..."

Buku Akaun

Monday, December 6, 2010

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani


“Iman sakit!!! Bagi nasihat sikit”


“Dekat Maghrib nanti baca doa awal & akhir tahun. Betulkan niat. Kan ada hadith Nabi…” kata Abrar.


Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab RA beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:


“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.” [Hadith Riwayat Bukhari & Muslim]






Tutup Akaun


Akhiri tahun ini dengan muhasabah kepada perkara-perkara lepas. Bertaubat diatas segala maksiat. Ubati hati dari penyakit ujub, riak, kibr dan sum’ah dan selainnya. Cari kesalahan kita sesama manusia dan minta maaf atas kekhilafan dan kejahilan kita. Memperbanyakkan meminta nasihat terutama dari yang terdekat. Semoga amal akan datang membawa banyak berkat.


Buka Akaun


Mulakan tahun baru dengan azam yang baru. Tidak salah seseorang itu memperbanyakkan azam mereka atau memperbaharui azam mereka pada tarikh-tarikh yang mereka inginkan. Lebih baik dari mereka yang tidak mahu berubah.


Saidina Ali pernah berkata bahawa orang yang hari ini sama seperti hari semalam ialah orang yang rugi. Jika hari ini lebih baik dari hari semalam merekalah orang yang beruntung. Malangnya barangsiapa yang hari ini lebih buruk dari hari sebelumnya maka celakalah orang itu.


Muhasabahlah pada setiap perkara.






“Kita ni manusia…” nasihat Ustaz Izharuddin.

Seruan Itu...

Friday, November 26, 2010


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang yang mana segala rancangan telah dirancang-Nya dan segala ketetapan telah ditetapkan-Nya

Sekian lama Kitab Fiqh Manhaji ini menanti disentuh, akhirnya Jilid 1 dibawa bersiar-siar ke Darul Rahmah. Jilid 2 dan 3 hanya menunggu giliran mereka. Debu dan habuk yang menutupi nama Dr. Mustafa Bahin ~ Dr. Mustafa Bugho ~ ‘Ali Asy-Syarbaji ~ dibersihkan. Semoga Allah merahmati mereka sebanyak-banyaknya diatas penulisan kitab feqah Mazhab Syafie’ ini. Alhamdulillah, minggu ini Ustaz Firdaus telah membuka satu lagi bab iaitu berkenaan azan dan iqomah.


AZAN

DEFINISI : Ia merupakan lafaz khusus yang disyariatkan Islam untuk menyatakan telah masuknya waktu solat fardhu dan menyeru kaum muslimin berkumpul kerananya.

HUKUM AZAN : Azan disunatkan apabila hendak menunaikan sama ada solat tunai atau pun qada’ (kedua-duanya fardhu) ; ia adalah sunat muaqqad ‘alalkifayah - bagi sesuatu kumpulan yang tuntutan sunatnya terlaksana walaupun tidak dilakukan oleh semua ahli kumpulan tersebut. Bagi individu, ia merupakan sunat ‘ainih. Azan juga merupakan satu perkara yang sangat penting dalam menzahirkan syiar-syiar Islam.

DALIL PENSYARIATAN AZAN :

“Wahai orang-orang  beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu)…” [Surah Al-Jumu’ah : Ayat 9]

Rasulullah SAW bersabda : “Apabila tiba waktu solat maka salah seorang daripada kamu hendaklah melaungkan azan dan orang yang paling tua dikalangan kamu hendaklah menjadi imam kepada kamu.” [Hadith Riwayat Bukhari & Muslim]

PERMULAAN DISYARIATKAN AZAN :

Azan telah disyariatkan pada tahun pertama hijrah. Al-Buhkari dan Muslim telah meriwayatkan daripada Ibnu Umar RA katanya : Ketika orang-orang Islam datang ke Madinah, mereka berkumpul dan menunggu untuk menunaikan solat, ketika itu tidak ada orang menyeru melaungkan azan untuk menunaikannya. Pada suatu hari mereka berbincang mengenainya. Berkata seseorang daripada mereka, “Kita gunakan loceng seperti loceng orang Nasrani.” Berkata lagi seseorang, “Kita gunakan ceropong (peniup) seperti tanduk yang digunakan orang Yahudi.” Kemudian Saidina Umar RA berkata, “Mengapa kamu tidak menyuruh seseorang bangun untuk menyeru untuk solat?” Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Wahai Bilal, bangun dan serulah untuk bersolat.”


SYARAT SAH AZAN :
  1. Islam
  2. Mumaiyiz
  3. Lelaki
  4. Melafazkan kalimah azan dengan tertib
  5. Berturut-turut antara kalimah (tidak boleh terpisah lama antara kalimah)
  6. Meninggikan suara sekiranya azan tersebut untuk jemaah 
  7. Masuknya waktu

Manakala bagi jemaah wanita mereka tidak disunatkan untuk azan tetapi disunatkan untuk iqomah.

SUNAT-SUNAT AZAN
  1. Menghadap kiblat
  2. Suci dari hadas besar dan kecil
  3. Berdiri
  4. Memalingkan muka ke kanan ketika bacaan “Haiya’alassolah” dan ke kiri ketika bacaan “Haiya’alalfalah”
  5. Jelas sebutan kalimah azan
  6. Mengulang kalimah seterusnya dengan perlahan (tarji’)
  7. Membaca tathwib ketika azan Subuh “Assolatu khairum minannaum”
  8. Melaungkan azan dengan suara yang lembut dan merdu
  9. Mua’azzin dikenali sesama manusia dengan akhlak yang baik dan adil
  10. Tidak melagukan laungan azan
  11. Dua orang mu’azzin ketika azan untuk solat Subuh (seorang pada 2/3 malam dan seorang pada waktu Subuh)
  12. Pendengar azan disunatkan diam dan menghormatinya serta mengucapkan apa yang dilafazkan bilal
  13. Berdoa dan berselawat keatas Nabi selepas selesai azan

 InsyaAllah bab iqomah akan disambung kemudian jika dikurniakan keizinan-Nya



Wallahu Ta'ala 'alam...

Rujukan : Kitab Fiqh Manhaji Jilid 1 Bab Azan & Iqomah


Mee Segera!!!

Saturday, November 6, 2010

Beberapa masa lalu sering juga kita dengarkan tentang mee segera ini yang dikatakan tidak baik untuk kesihatan bahkan ada dikalangan ibu bapa yang melarang keras anak-anak mereka daripada memakannya. Saya juga banyak mencari dan bertanya tentang perihal makanan ini tetapi hasilnya kurang memuaskan kerana terdapat banyak ‘khilaf’.

Semalam, soalan mengenai mee segera di laman Cyberclinics.org menjadi tarikan saya. Semoga artikel itu dapat menjelaskan tentang baik dan buruk daripada wujudnya mee segera ini. Biarpun sudah lama tapi apa yang penting ialah ILMU. Sebelum mengetahui kesan dari pemakanan mee segera, mari kita ketahui apa kandungan yang terdapat pada sebungkus mee segera. Maklumat di bawah adalah contoh (kotak seperti ini biasanya ditulis di bahagian belakang bungkusan mee segera) :

Maklumat pemakanan untuk saiz hidangan : 100 g (3.5 oz)

Tenaga 1,895 kJ (453 kcal)
Karbohidrat 65 g
Serat 2.4 g
Lemak 17 g saturated 7.6 g monounsaturated 6.5 g
Protein 9 g
Thiamine (Vit. B1) 0.7 mg (54%)
Riboflavin (Vit. B2) 0.4 mg (27%)
Niacin (Vit. B3) 5.4 mg (36%)
Folate (Vit. B9) 147 μg (37%)
Iron 4.3 mg (34%)
Potassium 120 mg (3%)
Sodium 1160 mg (50%)

* Satu saiz hidangan: 80 g
* Peratus adalah berdasarkan US recommendation untuk dewasa


Ulasan

Karbohidrat yang tinggi, rendah di dalam serat, vitamin dan mineral dan jumlah lemak tepu dan trans lemak yang tinggi. Sebungkus mee segera tidak menepati nutrisi yang diperlukan oleh badan. Rujuk piramid makanan di bawah untuk mengetahui jumlah nutrisi yg diperlukan.


~ Sodium (garam) yang tinggi

Berdasarkan Saranan Pengambilan Sodium Amerika Syarikat, jumlah sodium untuk orang dewasa dan kanak-kanak 4 tahun ke atas ialah 2,400mg/hari. Terdapat beberapa jenama yang kandungan sodiumnya melebihi 3,000 mg sodium per paket. Sodium jika diambil secara berlebihan dan berterusan akan mengundang penyakit tekanan darah tinggi, masalah pada jantung dan kerosakan pada ginjal. Di dalam badan, sodium diproses oleh ginjal. Walaubagaimanapun, apabila pengambilan sodium tinggi, ginjal tidak dapat memproses kesemua sodium. Disebabkan sodium menahan air, isipadu darah di dalam badan meningkat menyebabkan jantung terpaksa bekerja keras untuk mengepam darah.


~ Monosodium Glutamate (MSG)

Sebungkus mee biasanya disertakan sepeket kecil perisa tambahan seperti perisa tomyam, kari atau sup. Perisa tambahan ini mengandungi Monosodium Glutamate (MSG) iaitu bahan kimia yang digunakan sebagai penambah rasa manis, masin, pahit atau masam. Berdasarkan United States Food and Drug Administration (FDA), MSG adalah selamat jika diambil secara sederhana. Namun ,jika berlebihan boleh menyebabkan “Simptom MSG Kompleks” dan memburukkan lagi simptom asma. Simptom MSG kompleks adalah seperti pening, berpeluh, muka menjadi merah (flushing), sakit dada, lemah badan, tekanan pada muka dan kebas pada muka , leher dan tempat-tempat lain. Namun begitu, para pengkaji belum menjumpai bukti kaitan antara MSG dan simptom ini.


~ Lilin (wax)

Ada satu fakta yang mungkin kita tidak tahu, mee segera tersebut biasanya disalut dengan lilin. Fungsi lilin ini adalah untuk mengelakkan mee tersebut dari melekat. Lilin ini mengambil masa 4 hingga 5 hari untuk dinyahkan dari badan. Oleh itu, cara yang terbaik untuk menyediakan mee tersebut ialah dengan :

1. Rebus mee di dalam air
2. Setelah masak, buang air tadi kerana telah bercampur dgn lilin (wax)
3. Rebus sekali lagi dengan air yang lain sehingga mendidih. Ketika ia benar panas, anda boleh mencampurkannya dengan ramuan yang anda inginkan.



~ Dioxin dan bahan seperti hormon

Baru-baru ini timbul kontroversi mengatakan mee segera mengandungi dioxin dan bahan seperti hormon apabila diestrak dari pembungkus dan gam yang digunakan. Apabila air panas ditambah, ini mungkin menyebabkan bahan bahaya ini bercampur dengan kuah mee segera.

*Dioxin ialah kumpulan bahan pencemar terhasil daripada racun rumput, ubat pembasmi kuman dan ejen-ejen lain


Cadangan penulis asal :

  1. Kurangkan pengambilan mee segera jika ia menjadi makanan rutin anda. Cuba jarakkan 4-5 hari.
  2. Masaklah dengan cara yang betul seperti yang dinyatakan di atas.
  3. Tambahkan sayur-sayuran, daging, ayam, ikan atau telur. Ini penting supaya diet seimbang dapat dicapai.
  4. Rajinkan diri untuk memasak makanan yang lebih berkhasiat.


Rujukan : http://cyberclinics.org/
(diolah untuk memudahkan pembacaan)

Susu...

Friday, October 29, 2010


Kajian telah mengesahkan bahawa bayi yang hanya diberi susu ibu selama 6 bulan pertama dapat mengurangkan jumlah dan bahaya jangkitan terhadap bayi tersebut. Kajian yang dilakukan keatas hampir 1,000 orang bayi menunjukkan bayi yang diberi hanya susu ibu dalam tempoh 6 bulan mendapat jangkitan yang jauh lebih sedikit berbanding bayi yang diberi susu ibu bukan secara berterusan atau tidak diberi sama sekali.

Penyusuan dengan susu ibu secara separa tidak memberi perlindungan yang sama seperti penyusuan susu ibu semata-mata secara berterusan. Apabila diserang jangkitan, kesan penyakit tersebut kurang teruk kepada bayi yang diberikan susu ibu untuk tempoh 6 bulan pertamanya. Para Penyelidik melihat bahawa lebih lama seseorang bayi itu menerima penyusuan dari ibu, lebih rendah risiko bayi tersebut untuk mendapat sebarang jangkitan.

Susu ibu baik untuk bayi mungkin disebabkan kandungan nutrisi dan perlindungan imunisasi yang terkandung pada susu tersebut. Anti-body yang terdapat didalam susu ibu membantu dalam mengembangkan pertumbuhan sistem imunisasi badan bayi seterusnya melindungi mereka dari sebarang jangkitan. Tambahan pula susu ibu mengandungi banyak nutrisi penting yang wujud dalam bentuk yang lebih mudah diserap berbanding yang ada pada susu formula. 

Sirah – Halimah Ibu Susuan Rasulullah

Lari sebentar dari sains untuk melihat kisah Nabi junjungan kita Nabi Muhammad SAW yang mana Halimah al Sadiah mendapat kemuliaan dengan menyusukan baginda. Suatu hari Halimah keluar dengan menunggang kedainya dan membawa seekor unta tua yang tidak mengeluarkan susunya walaupun setitis. Beliau bersama rombongannya pergi ke kota Makkah untuk mencari anak-anak yang boleh disusu. Setiap wanita dari rombongan itu telah dipelawa untuk menyusukan Nabi tetapi mereka menolak dengan alasan baginda adalah anak yatim dan mereka tidak akan mendapat apa-apa kebaikan darinya.

Kesemua wanita dari rombongan tersebut telah mendapat anak susuan masing-masing kecuali Halimah. Ketika semua bersiap hendak berangkat pulang Halimah berkata kepada suaminya bahawa yang dia tidak suka untuk pulang bersama wanita-wanita lain tanpa membawa anak susuan. Lalu Halimah membawa baginda pulang bersamanya sebagai anak susuan kerana tiada pilihan yang lain. Ketika di kamar, Nabi terus menyusu sehingga kenyang kemudian Halimah menyusukan pula anaknya sehingga kenyang. Kemudian Nabi dan anak kepada Halimah tidur dengan lena. Suami Halimah melihat unta mereka dan ternyata kantung unta itu dipenuhi susu lalu diperahnya dan mereka minum berdua sehingga hilang rasa haus dan lapar.

Keesokan harinya rombongan tersebut meneruskan perjalanan pulang. Pada ketika itu kedai Halimah berjalan dengan pantas dan melintasi rombongannya padahal mereka telah berangkat lebih awal. Akhirnya mereka tiba di perkampungan Bani Sa’ad yang sangat tandus dan tidak ada apa-apa untuk dihasilkan. Diceritakan setelah tinggalnya baginda di situ, kambing-kambing kepunyaan Halimah banyak mengeluarkan susu berbanding kepunyaan jiran-jirannya yang langsung tidak mengeluarkan susu sehingga ada yang berkata, “Pindahkanlah kambing-kambing kita ke tempat pengembalaan kambing-kambing puteri Abu Zu’aib (Halimah)”.


Rujukan : HealthyMuslim.Com &  Buku Bibliografi Bercahaya Muhammad Rasulullah SAW

Clock....Wise???

Friday, October 15, 2010

Syukur & segala puji bagi Allah yang mana nikmat kurniaan-Nya sejak zaman Nabi Adam sehingga kini tidak putus-putus, yang nilainya juga tidak sampai dari setitik air laut yang diambil dengan hujung jarum. Selawat dan salam buat nabi junjungan beserta ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda yang dengan merekalah kita apa yang kita sekarang, yang dengan merekalah kita dijalan kita sekarang.

Lama tidak menulis bukan kerana kekosongan ilmu tetapi baru sedar akan sifat tamak dan kedekut yang ada pada diri. Sedikit demi sedikit yang diperolehi dan dengan yang sedikit itulah kita memberi. Dengan yang sedikit itulah sebenarnya mencukupi.

Di dapur Wisma Melaka dan dikelilingi manusia-manusia yang masing-masing ada kepakarannya. Niat untuk belajar dan disitu tempat bermula. Ketika dengan malasnya mengacau bahan-bahan campuran untuk memasak nasi ayam, tukang masak utama bersuara perlahan...

“Kacau ikut lawan arah jam…” kata si penuntut perubatan Ain Shams.

Terkesima sebentar. “Kenapa?”

“Semua benda ikut lawan arah jam…” sambungnya dengan suara monotonus.

Seorang lagi yang mempunyai kepakaran yang sama dalam  memasak, tambahan pula penuntut pengajian Islam Al-Azhar bersuara “Semua benda dalam dunia ni ikut lawan arah jam kecuali jam. Jam sahaja yang ikut arah jam...”


Manusia sering melawan Pencipta !