Pena Alam Maya

Kalam mutiara dari Syeikh Ibnu Atho'illah As-Sakandari yang ada dinukilkan di dalam kitabnya Al-Hikam : "...Tiada suatu nafas terlepas daripadamu, melainkan di situ pula ada takdir Allah yang berlaku di atasmu..."

6 Maratibul Mahabbah [Peringkat Cinta]

Monday, March 14, 2011


Alhamdulillah wa Syukurillah atas segala nikmat, rahmat dan kasih sayang serta cinta yang dilimpahkan oleh Rabb sekalian alam keatas kita, juga kepada umat-umat terdahulu. Tapi seringkali kita membalasnya dengan kemaksiatan. Astagfirullahal’azim….
 
Kali ini saya akan berkongsi lagi bacaan saya tetapi akan difokuskan kepada Peringkat Cinta ataupun Maratibul Mahabah daripada Ibnul Qayyim, seorang ulama’ pada abad ke-7. Saya memetik ayat-ayat beliau dari sebuah buku lain yang menggunakan karangan Ibnul Qayyim sebagai rujukan iaitu Ya Allah, Aku Jatuh Cinta. SELAMAT BERMUHASABAH CINTA!

1.       Peringkat pertama dan yang paling tinggi adalah TATAYYUM, yang merupakan hak Allah semata. Allah-lah yang paling utama. Tidak ada tandingan dan bandingan. Allah yang pertama dan selalu menjadi yang pertama. Kedudukan-Nya tidak boleh diluncurkan menjadi nombor dua atau tiga. Cinta kita kepada-Nya harus menjadi puncak dari segala cinta yang kita miliki.

2.       Peringkat kedua : ‘ISYK yang hanya merupakan hak Rasulullah SAW. Cinta yang melahirkan sikap hormat, patuh, ingin selalu membelanya, mengikuti dan mencontohinya. Kita mencintai Rasulullah SAW dengan segenap konsekuensinya. Kita dengan bangga melaksanakan sunnah-sunnahnya dan mengikuti petunjuknya dalam mengamalkan agama ini. Kita juga akan mencintai kehidupannya yang luhur dan penuh amal soleh. Kita rindu untuk berjumpa dengannya kerana kemuliaan yang ada pada diri baginda. Namun kecintaan kita bukanlah menuntut sebuah penghambaan. Kecintaan  menuntut sebuah amal yang meneladani akhlaknya.

3.       Peringkat ketiga : SYAUQ iaitu cinta antara mukmin dengan mukmin lainnya. Antara suami isteri, ibu bapa dan anak, yang membuahkan rasa mawaddah wa rahmah. Seorang suami harus mencintai isterinya dengan sepenuh hati. Demikian pula isteri harus memberi cintanya kepada suaminya. Seorang ayah yang begitu memberi perhatian kepada anaknya, mencurahkan cintanya pada buah hatinya. Dia menyayanginya dan rela bekerja siang dan malam untuk anak-anaknya. Selain kerana ibadah kepada-Nya, dia melakukannya juga kerana cinta.


4.       Peringkat keempat : SHABABA iaitu cinta sesama Muslim yang melahirkan ukhuwah Islamiah. Cinta ini menuntut sebuah kesabaran untuk menerima perbezaan dan melihatnya sebagai sebuah hikmah yang berharga. Tidak semua perbezaan harus dipaksa sama, tapi terkadang hanya memerlukan sedikit pengertian saja. Cinta ini harus muncul sebagai sebentuk usaha untuk mencipta ketenangan hubungan dalam tubuh umat Islam.

5.       Peringkat kelima : ‘ITHF (simpati) yang ditujukan sesama manusia. Rasa simpati ini melahirkan kecenderungan untuk menyelamatkan manusia, temasuk juga di dalamnya adalah berdakwah. Rasa ini seringkali muncul bila sisi kemanusiaan kita tersentuh. Sudut kemanusiaan kita menjadi tersentuh dan ingin menitikkan air mata. Hati kita tidak tega melihat sebuah penderitaan yang tidak kunjung berakhir. Inilah bentuk simpati yang muncul dari hati yang paling dalam.

6.       Peringkat keenam adalah cinta yang paling rendah dan sederhana, iaitu cinta atau keinginan kepada selain manusia : harta benda. Namun keinginan ini sebatas INTIFA’ (pemanfaatan). Cinta jenis ini pula yang seringkali menggelincirkan manusia. Ini bukan kerana sifat harta memang selalu melalaikan. Namun bila kita bijak, banyaknya harta benda seharusnya tidak menjadikan kita terlena. Sebaliknya, ia hanya menjadi sarana atau alat untuk meraih cinta yang sebenarnya iaitu cinta pada Allah SWT.
~MUHASABAHLAH DIMANA CINTA DAN KECINTAAN KITA~

Aku Belum Bersedia Untuk Malam Pertama...

Monday, February 21, 2011

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani…
Ingin berkongsi kepada sahabat-sahabat sekalian berkenaan pembacaan terbaru saya tentang MALAM PERTAMA DI ALAM KUBUR. Maaf kepada sesiapa yang tertarik pada tajuk post ini tetapi akhirnya hampa selepas membaca isi kandungannya. Sekadar peringatan buat diri secara khususnya.

Azab Kubur Menimpa Roh Dan Badan
Sesungguhnya jika seseorang itu mati, dia akan mendapat azab atau nikmat kubur. Azab dan nikmat itu akan menimpa roh dan badan. Setelah berpisah dengan badan, roh sentiasa mendapat azab atau nikmat.


Dalam sahih Muslim dan seluruh Sunan, dari Abu Hurairah RA berkata, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda :


“Jika salah seorang dari kamu selesai mengucap tasyahud akhir, hendaklah dia berkata, “Aku berlindung kepada Allah dari empat perkara, azab jahannam, azab kubur, dari fitnah kehidupan dan kematian serta dari fitnah al-Masiih ad-Dajjaal.”


Binatang Dapat Mendengar Mayat Diazab
Dalam Sahih Abi Hatim al-Bastani, dari Ummu Mubasyir RA berkata :


“Rasulullah datang kepadaku, sementara aku berada disebalik tembok. Baginda bersabda, “Berlindunglah kamu semua kepada Allah dari azab kubur.” Aku bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah di dalam kubur ada azab?” Baginda menjawab, “Mereka akan diazab dalam kuburnya dengan seksaan yang dapat didengar oleh binatang ternak.”


Azab Bagi Orang Kafir
Adapun orang-orang kafir, ketika ajal menjemput, rohnya dikembalikan ke jasadnya. Kemudian dua malaikat datang duduk di hadapannya dan bertanya soalan tetapi mereka tidak mampu menjawabnya. Lalu terdengar suara dari langit, “Hamba-Ku ini pendusta! Sediakan baginya tempat di neraka dan pakaian darinya. Bukakan pintu neraka baginya. Datanglah hawa panas dan awan gelap menutupinya.”


Baginda bersabda, “Dan kuburnya disempitkan sehingga hancurlah tulang-tulangnya. Matanya buta, telinganya tuli. Dia dipukul dengan palu yang seandainya dipukul pada gunung, nescaya gunung berkeping menjadi tanah. Suaranya menggelegar, yang dapat didengari oleh semua makhluk dari Barat hingga Timur, selain manusia dan jin. Dia hancur berkeping menjadi tanah. Lalu rohnya dikembalikan padanya.”


Soalan Mungkar Nakir
Lalu baginda menceritakan kisah roh dicabut dan dinaikkan ke langit, serta dikembalikan semula ketempatnya. Sampai akhir baginda bersabda, “Dan sesungguhnya ia mendengar bunyi terompah orang yang menanamnya ketika mereka meninggalkannya, ketika dia ditanya, “Siapa Tuhanmu, apa agamamu dan siapa nabimu?”


Dan dalam lafaz lain disebutkan, “Datanglah dua malaikat yang kemudian duduk di hadapannya. Mereka bertanya, “Siapa Tuhanmu?” Dia berkaya, “Tuhanku Allah.” “Apa agamamu?” “Islam.” Malaikat melanjutkan, “Siapa lelaki yang diutus kepadamu ini?” Dia menjawab, “Dia adalah Rasulullah.” “Bagaimana engkau tahu?” “Aku membaca kitab Allah, beriman dan membenarkannya.”


Itulah yang difirmankan Allah dalam Surah Ibrahim pada ayat ke 27 yang bermaksud :


“Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat.”


Kemudian terdengar suara dari langit, “Hamba-Ku benar! Sediakan tempat baginya di syurga dan berilah pakaian darinya. Bukalah pintu syurga untuknya.”


Baginda bersabda lagi, “Didatangkan padanya keindahan syurga dan dilapangkan tempatnya sejauh mata memandang.”


"Ya Allah, matikanlah kami dalam keadaan beriman dengan agama-Mu, permudahkanlah kami ketika menjawab soalan-soalan para malaikat-Mu serta pelihara dan jauhilah kami dari seksa kubur dan azab api neraka-Mu."


Sesungguhnya AKU masih belum bersedia untuk melalui malam pertama di alam kubur. Bagaimana pula dengan kamu wahai sahabatku?

Couple Islamic...

Monday, January 3, 2011

 (sekadar gambar hiasan)

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani...


Ber'blogwalking' dan terbaca kisah yang menarik di blog sahabat saya Hamzah Marwan dan kisah ini juga beliau ambil dari blog adiknya Syafiq Marwan. Siapa pula yang nak menyambung sanad kisah ini. Selamat membaca...


Kisahnya mengenai 3 org, Syafiq, Safura dan Muhammad. Syafiq dan Safura sama-sama belajar di SAM Bestari. Beberapa lama kemudian, Syafiq jatuh hati pada keayuan Safura. Matanya mengalahkan Zinnirah. Wajahnya berseri-seri dengan cahaya keimanan. Pergh!! Cantik sangatlah jika nak diceritakan. Tetapi, Syafiq cuba tahan. Dia tidak boleh meluahkan perasaan dia pada Safura sebab nanti takut kena tangkap dengan ajk pencegah maksiat sekolah. 

Beberapa tahun berlalu...Akhirnya, apabila Syafiq berada di Tingkatan 5, dia sudah tidak mampu bertahan. Dia mengatur langkah dan akhirnya, Safura tewas pada pujuk rayunya. Walaubagaimanapun, mereka ini sedar yang mereka orang Islam. Islam tidak membenarkan umatnya ber’couple’. Jadi mereka berpakat yang mereka ini hendak membuat satu revolusi dalam couple. "COUPLE ISLAMIC". Asal keluar, pergi tempat terbuka. Tak mainlah tempat gelap-gelap ni. Bukan itu sahaja, Safura kena pakai tudung labuh. Syafiq pula pakai serban dan jubah. Lepas itu mereka keluar bukan membuang masa, keluar bawa Al-Quran. Berhenti di kedai makan, tadarrus lagi. Jalan pula, mana ada pegang-pegang tangan, mereka ikut cara Nabi Musa. Lelaki di depan, perempuan di belakang. Bila balik rumah, missed call pagi-pagi. Suruh qiamullail. Hah! kan Islamic punya couple tu.

Setelah setahun mengamalkan taktik sedemikian, Syafiq ditakdirkan bertemu dengan Muhammad. Ketika itu Syafiq dan Safura sedang bertadarrus di RFC. Muhammad tiba-tiba datang menghampiri mereka kerana tiada tempat duduk. Bila duduk, Muhammad bertanya, "Have you married?". "No.", jawab Safura. "So, why you sit together with this ajnabi alone here", tanya Muhammad. "Kami couple, tapi Islamic way" jawab Syafiq. Muhammad hanya tersenyum mendengar jawapan itu. Muhammad pun memulakan ceritanya. 

"Aku ni muallaf. Asal dulu aku kristian. Tinggal kat Singapore. Dulu, aku suka sangat makan babi. Kalau sehari tak makan, pengsan aku. Pernah sekali mak aku terlupa beli babi, aku masuk wad malam tu. Tetapi, Alhamdulillah, Allah buka pintu hati aku untuk terima hidayah-Nya. Bila aku masuk Islam, aku dapat tahu, dalam Islam tak boleh makan babi. Aduh, pening kepala aku. Macam mana aku nak buat ni??? Seminggu aku masuk hospital lepas masuk Islam. Kalau zaman Rasulullah dulu ada peringkat-peringkat dia. Tapi aku…mana ada. Jadi, time kat hospital tu aku fikir. Akhirnya, aku jumpa satu jalan keluar. Aku nak Islamkan babi tu. Aku beli seekor anak babi. Dari kecik aku jaga dia. Seekor lalat pun aku tak bagi dekat. Setiap jam aku mandikan dia. Lepas 3 hari, aku bisikkan kat telinga dia dua kalimah syahadah. Lepas tu, tiap-tiap hari aku bagi tazkirah kat babi tu. Asal dia berak aku vacuum terus. Camnilah kehidupan aku dan babi tu buat 2 tahun. Lepas dua tahun, masa yang ditunggu-tunggu tiba. Masa untuk sembelih babi ni. Tengok-tengok babi ni takde leher. Tapi, lantaklah. Aku tibai je sebab dah 2 tahun tak makan babi ni. Lepas tu, aku pun masak la bakut teh. Tengah-tengah makan, nampak seorang ustaz tengah jalan-jalan. Muka macam lapar je. Aku pun ajak la dia makan. Ustaz!!! jom makan. Babi Islam nih.”

Bila terdengar kisah itu, Syafiq dan Safura pun sedar. Kalau benda itu haram, ia tetap haram. Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas...

"…yang halal itu halal, yang haram itu haram, tiada HALAM dalam Islam..."
-JAKSI-

Sucikan Hatimu...

Sunday, January 2, 2011


Riya' ada 6 jenis :


1. Riya' dengan tubuh badan seperti menzahirkan kurus dan pucat wajah supaya disangka dia banyak bangun malam dan berpuasa pada siang harinya...


‎2. Riya' dengan kelakuan seperti memejam mata dan menunduk kepala supaya disangka dia sedang bertafakur tentang akhirat...


3. Riya' dengan pakaian seperti memakai pakaian yang lusuh, kasar dan bertampung-tampung supaya disangka dia dari kalangan ahli sufi...


4. Riya' dengan perkataan seperti riya' orang yang berpidato dan memberi nasihat dengan petikan Al-Quran dan hadith dan perkataan serta sunyi hatinya dari keikhlasan dan kebenaran dan seperti menggerakkan bibir dengan zikir di hadapan orang lain...


5. Riya' dengan pekerjaan seperti memanjangkan berdiri dan rukuk dan sujud di dalam solat di hadapan orang lain...


6. Riya' dengan ramainya anak-anak murid yang belajar dengannya dan ramai guru-guru yang dia pernah belajar...




Maka sekelian yang demikian itu haram dan bahkan berdosa besar besar kerana menyengutukan Allah Taala pada niat dalam sesuatu amal ibadah...

Na'uzubillah...


Sambungan Seruan Itu...

Saturday, December 25, 2010



Iqomah itu pula hampir menyamai azan akan tetapi mempunyai 3 perbezaan :

1. Lafaz bagi azan diulang 2 kali manakala bagi iqomah hanya sekali. Ini berdasarkan dalil yang terdapat dalam hadith dari Anas RA dan diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud :

“Bilal diperintahkan supaya menggenapkan azan dan mengganjilkan iqomah”



Pada kenyataan mengganjilkan iqomah, ada lafaz iaitu “..qodqomatissolah...” yang hanya disebut dua kali. Lafaz itu membawa maksud “..sembahyang akan didirikan..”

Lafaz sempurna bagi iqomah ialah…

2. Azan dilafazkan dengan perlahan-lahan manakala iqomah dilafazkan dengan cepat.

Ini kerana azan adalah untuk orang yang tiada ditempat tersebut. Oleh itu sebutan secara perlahan-lahan adalah lebih baik, manakala bagi iqomah dilafazkan setelah orang yang ingin bersolat berkumpul di tempat azan, oleh itu sebutan yang cepat lebih sesuai.

3. Sesiapa yang meninggalkan banyak solat dan ingin mengqada’kannya maka dia perlu azan untuk solat yang pertama sahaja kemudian didirikan semua solat qada’ yang lain tanpa perlu azan pada setiap solat yang hendak didirikan, manakala iqomah dibaca setiap kali solat ingin didirikan.

Dalilnya ialah dari Abdullah Bin Jabir RA yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud : Rasulullah SAW telah menghimpunkan antara solat Maghrib dan Isya’ di Mudzhalifah dengan satu azan dan dua iqomah.


::: Syarat sah iqomah sama dengan syarat-syarat azan

::: Sunat-sunat iqomah juga sama sepeti sunat-sunat azan

- Selain itu disunatkan juga orang yang azan dan orang yang iqomah ialah orang yang sama.

- Sunat juga bagi pendengar iqomah untuk menyebut “..aqomahallahu waadamaha..” yang bermaksud “..semoga Allah tetap menjadikan solat ini didirikan dan mengekalkannya selama-lamanya..”  ketika bilal menyebut “..qodqomatissolah...”

Seruan Untuk Bukan Solat Fardhu

Hukum azan dan iqomah ialah sunat muaqqad ketika hendak menunaikan solat fardhu, manakala solat yang disunatkan berjemaah selain solat fardhu seperti solat dua hari raya, solat gerhana matahari, solat gerhana bulan dan solat jenazah tidak disunatkan azan atau iqomah, tetapi ketika hendak mendirikannya hanya menyebut “..assholatu jami’ah..”

Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan dari Abdullah Bin Amru Bin Al-‘ass katanya : Apabila berlakunya gerhana matahari di zaman Rasulullah SAW lalu diseru dengan lafaz “..assholatu jami’ah..”

Berdasarkan hadith diatas maka semua solat sunat yang disunatkan mendirikannya secara berjemaah dikiaskan kepada solat gerhana matahari dengan diseru seperti lafaz diatas.


Wallahu subhanahu wa ta’ala a’lam…



Rujukan : Kitab Fiqh Manhaji Jilid 1 Bab Azan & Iqomah