Pena Alam Maya

Kalam mutiara dari Syeikh Ibnu Atho'illah As-Sakandari yang ada dinukilkan di dalam kitabnya Al-Hikam : "...Tiada suatu nafas terlepas daripadamu, melainkan di situ pula ada takdir Allah yang berlaku di atasmu..."

Dulu, Kini Dan...

Wednesday, April 28, 2010


2 Jun 2008 : Menunggu Isyak di Surau Abdulrahman, Kolej Matrikulasi Melaka. Jari mendail menelefon kakak, “Angah, ayah macam mana? Dah ok?”. “Ilan, ayah dah tak de.”, balasnya. Terdiam.

1 Jun 2008 : Hari persandingan serentak antara abang dan akak serta pasangan masing-masing. Malamnya, sambutan awal iaitu sekeping kad Hari Bapa yang diisi kata-kata dari lapan orang anaknya kecuali seorang yang telah pulang ke kolej matrikulasi pada petangnya, diserahkan dengan gelak ketawa. Tergamam.


***   ***   ***   ***   ***


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Teringat beberapa hadith yang sebenarnya samar-samar dalam ingatan. Semoga penulisan kali ini dapat memperkuatkan kedudukan kalam-kalam Nabi dalam diri ini serta menjadi panduan dan ilmu tambahan yang penting buat sahabat-sahabat.

Kematian

Terdapat empat kewajipan utama yang dipertanggungjawabkan kepada mereka yang masih hidup (fardhu kifayah) untuk dilaksanakan apabila berhadapan dengan satu kematian :

1)      Memandikan
2)      Mengkafankan
3)      Menyembahyangkan
4)      Mengebumikan

Bagi bayi yang mati ketika dilahirkan dan sempat bernafas, kewajipannya ke atas jenazah sama seperti diatas. Manakala andai yang keluar itu tidak sempat bernafas (mati dalam kandungan), maka jenazah hanya perlu dimandikan, dikafankan dan dikebumikan tanpa perlu disembahyangkan. Mayat bayi yang tidak cukup sifat atau belum membentuk lembaga manusia disamakan seperti uri iaitu sunat untuk ditanam selepas dibersihkan dan dibungkus.

(a) Syarat jenazah yang diwajibkan mandi :

(i)         Mayat orang Islam
            (ii)        Didapati anggota walaupun sedikit
            (iii)       Bukan anak keguguran yang tidak cukup sifat
            (iv)       Bukan jenazah yang mati syahid

(b) Terdapat tujuh rukun sembahyang jenazah :

(i)                 Niat
(ii)               Berdiri bagi orang berupaya
(iii)              Empat takbir termasuk takbiratul ihram
(iv)              Membaca Al-Fatihah selepas takbir pertama
(v)               Selawat kepada Nabi selepas takbir kedua, 
     sekurang-kurangnya ialah :
               dan sebaik-baiknya ialah selawat Ibrahimiah yang dibaca 
     ketika duduk tahiyyat didalam solat  
(vi)             Doa kepada si mati selepas takbir ketiga, 
     sekurang-kurangnya ialah :
(vii)             Memberi salam selepas takbir keempat. Sebelum salam 
      disunatkan membaca:
  *bacaan untuk jenazah seorang lelaki
Terdapat beberapa hadith yang menceritakan tentang fadhilat bagi orang mengikuti solat jenazah sehingga jenazah dikebumikan. Antaranya ialah:

Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda : “Sesiapa yang mengiringi jenazah kerana iman dan ikhlas, serta turut bersamanya sehingga solat dan menyelenggarakan pengkebumiannya sehingga selesai, maka orang itu pulang membawa pahala dua qirat, satu qirat kira-kira sebesar Bukit Uhud, dan sesiapa yang mengikut solat jenazah sahaja kemudian dia pulang sebelum dimakamkan, maka orang itu pulang membawa pahala satu qirat.” [HR Bukhari]

Mengambil pengajaran dari kisah-kisah orang soleh yang dipetik dari blog Ustaz Salman.
Syeikh Najmuddin Al-Asbahani RH telah mengiringi jenazah seorang soleh di Makkah. Bila saja siap dikebumi maka orang yang mentalkin duduk mentalkinkan mayat. Tiba-tiba Syeikh Najmuddin ketawa (sedangkan dia jarang ketawa). Maka temannya bertanya sebab beliau ketawa. Dia memarahi penanya dan menjawabnya selapas peristiwa itu, "Aku ketawa hanyalah disebabkan apabila penalqin duduk untuk mentalqin, aku mendengar jenazah itu berkata, "Adakah kamu tidak pelik apabila orang yang mati (hati yang mati) mentalqin orang yang hidup (hati yang hidup)?"

Ulasan: Sabda Rasulullah SAW : “Perumpamaan orang yang mengingati Tuhannya dengan orang yang tidak mengingati Tuhannya adalah seumpama org yang hidup dan orang yang mati.” [HR Bukhari]

(28 April 1944 - 2 Jun 2008)
Selamat Hari Lahir Ayah. Semoga anakmu ini dapat mewarisi segala ilmu dan kebaikan yang ada serta berupaya menyambung perjuangan ayah dan sahabat-sahabat yang lain.

“Dulu, kini dan selamanya aku hanya bekerja dibawah KERAJAAN ALLAH”






Rujukan : Kitab Nil Roja’, Sohih Bukhari, Buku Seminar PERUBATAN Ke-2 : Kelahiran & Kematian

Malu Dengan Dia...

Friday, April 23, 2010



Astaghfirullahal’azim…
Ampunilah dosa hamba-Mu ini Ya Allah. Sungguh banyak nikmat yang Engkau berikan namun sedikit sekali aku bersyukur. Ampunilah jua dosa kedua ibu bapaku dan kasihanilah mereka seperti mana mereka mengasihaniku sewaktu aku kecil.

Malu, ya aku malu. Perbualan dengan emak sebelum ini membuat diri sedikit terkesima. Emak meninggalkan tiga bicara dan kata-kata mulia. Sangat mendalam dan sangat menusuk. Tiga hadith buat anaknya. Tembakan yang sangat mengena. Malu dengan orang yang lebih tua, yang tenaganya tidak sekuat anaknya, namun dia mampu menunaikan semua yang wajib. Di tambah pula kekuatan ‘berjumpa’ Penciptanya di sepertiga malam terakhir serta istiqomah dalam menghadiri kelas-kelas agama.

Semoga tiga kalam kekasih Allah itu menjadikan diri ini lebih kuat dan sebagai bimbingan buat diri dan rakan-rakan.


Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda : “Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik adalah solat Subuh dan solat Isyak. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalamnya, nescaya mereka akan mendatangi keduanya sekalipun dengan merangkak.” [HR Bukhari dan Muslim]
 
Dari Buraidah RA, Rasulullah SAW bersabda : "Sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang berjalan di dalam kegelapan untuk ke masjid, bahawa mereka akan memperolehi cahaya yang sempurna pada hari kiamat." [HR Abu Daud dan Tarmidzi)
Dari Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda : “Dua rakaat solat Fajar (sebelum Subuh) lebih baik daripada dunia dan seisinya.” [HR Muslim]

Terasa malu juga terhadap dua orang yang diceritakan oleh Ustaz Salman. Pasangan adik beradik kembar Mahamud & Ezzad yang gila. Mereka ke masjid sewaktu solat Subuh setiap hari dengan istiqamahnya.

Malu pula kepada Ahmad, anak kepada tuan rumah yang lama. Dia remaja ‘istimewa’ dan sering kali dibuli kanak-kanak setempat.  Tapak tangannya sentiasa berpeluh dan terasa basah setiap kali bersalaman dengannya. Ahmad akan ke masjid setiap kali masuknya waktu solat, bukan masjid berhampiran rumahnya bahkan lebih jauh sedikit.

Ya Allah mengapakah diri yang sentiasa dikurniakan kesihatan ini tidak mampu melakukan ketaatan sebagai seorang hamba-Mu?

“Ya Allah berikanlah kekuatan dalam menunaikan ketaatan kepada-Mu”

~ Seharusnya Lebih Malu Pada-Mu Ya Allah ~


Rujukan : Kitab Riadhus Solihin & Sohih Bukhari

"Selamat Pagi Cikgu!"

Wednesday, April 21, 2010


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.
Segala puji bagi Allah yang setiap pujian hanya layak untuk-Nya. Syukur jua atas segala nikmat masa dan kesihatan kurniaan-Nya. Berbesar hati untuk dikongsikan bersama iaitu beberapa adab yang telah ditulis oleh Al-Imam Hujjatul Islam Abu Hamid Al-Ghazali didalam kitabnya Bidayatul Hidayah (Permulaan Jalan Hidayah) tentang adab-adab seorang murid.

Menuntut ilmu ialah kewajipan bagi setiap orang Islam dan apabila digelar sebagai penuntut ilmu, maka padanya mestilah ada seseorang yang dinamakan guru. Antara adab-adab seorang murid terhadap gurunya seperti yang dinyatakan oleh Imam Ghazali didalam kitabnya ialah:

1.      Apabila ia menemui gurunya maka hendaklah ia memberi salam kepadanya terlebih dahulu
2.      Jangan membanyakkan bercakap-cakap di hadapan gurunya
3.      Jangan ia bercakap-cakap sebelum gurunya bertanya kepadanya
4.      Jangan ia bertanya kepada gurunya sebelum ia meminta izin
5.      Jangan ia menyangkal (menunjukkan rasa tidak puas hati) terhadap perkataan gurunya seperti ia berkata si pulan itu menyalahi akan yang engkau kata itu
6.      Jangan ia mengisyaratkan kepada gurunya dengan menyalahi pendapatnya maka ia menyangka bahawa ia lebih mengetahui daripada gurunya
7.      Jangan ia berbisik dengan orang yang duduk di tepinya ketika gurunya memberikan pelajaran
8.      Jangan ia berpaling ke kiri dan ke kanan di hadapan gurunya tetapi hendaklah ia menundukkan kepalanya dengan penuh tenang lagi beradab seolah-olah dia sedang bersembahyang
9.      Jangan ia membanyakkan soalan kepada gurunya ketika ia letih
10.  Apabila gurunya berdiri hendaklah ia berdiri untuk menghormatinya
11.  Jangan mengikut gurunya dengan perkataan atau soalan ketika ia bangkit dari majlisnya
12.  Jangan bertanya kepada gurunya di tengah jalan sehingga ia sampai ke rumahnya atau ke tempat duduknya
13.  Jangan jahat sangka terhadap gurunya apabila ia melihat gurunya mengerjakan sesuatu pekerjaan yang pada zahirnya menyalahi ilmunya (bukan menyalahi agama) maka gurunya itu adalah lebih mengetahui dengan rahsia segala perbuatannya dalam hal ini hendaklah ia mengingati akan perkataan Nabi Musa A.S. bagi Nabi Khidir A.S. seperti yang disebutkan didalam Al-Quran:

Maksudnya : Nabi Musa berkata : "Patutkah engkau membocorkannya sedang akibat perbuatan itu menenggelamkan penumpang-penumpangnya? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perkara yang besar.” [Al-Kahfi : Ayat 71] *

Maka hendaklah ia mengingati bahawa sebenarnya dia yang tersalah pada keingkarannya itu. Kerana ia hanya memandang hukum yang zahir pada sisinya sahaja.

Berikut merupakan peringatan buat diri dan sahabat-sahabat yang sedang menuntut ilmu. Semoga ilmu yang diperolehi mendapat keberkatan dan mudah untuk diamalkan.  Biiznillah...



* Lihat kisah Nabi Musa A.S. dengan Nabi Khidir A.S. dalam Surah Al-Kahfi Ayat 60-82
Rujukan : Kitab Bidayatul Hidayah karangan Al-Imam Hujjatul Islam Abu Hamid Al-Ghazali

"Kamu Mengandung!"

Monday, April 19, 2010


Segala puji bagi Allah yang mempermudahkan urusanku ketika bersoal jawab dengan Dr. Ahmed El-Gendy ketika peperiksaan praktikal bagi subjek Physiology. Alhamdulillah…
Teringin benar untuk berkongsi soalan yang berkaitan peperiksaan praktikal tadi.

Pregnancy Test

Bagaimana kita boleh mengetahui seseorang itu mengandung dengan hanya menggunakan sempel air kencing?

“Kemudian Dia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati, iaitu dari air (benih) yang sedikit dipandang orang.” [As-Sajjdah (32) : Ayat 8]

Sel telur (ovum) yang telah bersenyawa dengan sperma (sperm) perlu mengambil masa beberapa hari untuk sampai ke kawasan rahim (uterus) dan sebelum proses penyemaian (implantation) berlaku. Proses penyemaian berlaku lebih kurang 7 hari selepas persenyawaan (fertilization) diantara sel telur dan sperma. Sel telur secara berperingkat akan terbenam di dinding rahim seterusnya melalui berberapa proses perubahan struktur untuk membentuk uri (placenta).

“Kemudian Kami jadikan pati itu (setitis) air benih pada tempat penepatan yang kukuh (rahim).”  [Al-Mukminun (23) : Ayat 13]

“Dia-lah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendaki-Nya. Tiada  Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. [Ali-Imran (3) : Ayat 6]

Uri mempunyai beberapa fungsi diantaranya sebagai pembekal oksigen dan nutrisi kepada janin selain bertindak sebagai medium perlindungan daripada penyebaran beberapa bahan yang merbahaya. Ia juga menghasilkan beberapa hormon penting ketika tempoh hamil seseorang wanita ; HCG, estrogens, progesterone, HCS dan relaxin.

Human chorionic gonadotrophin (HCG) dihasilkan sekitar 8 hari selepas proses penyemaian berlaku. Ia boleh dikesan pada darah wanita yang mengandung seawal 6 hingga 8 hari kehamilan berlaku dan inilah yang dijadikan dasar kepada ujian kehamilan (immunologic pregnancy test). Kewujudan HCG dalam kandungan air kencing menunjukkan bahawa wanita tersebut mengandung.

Maha Suci Allah yang menurunkan Al-Quran yang tiada sangsi padanya.


Kitab (Al-Quran) ini tidak ada sebarang syak padanya; ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang  yang (hendak) bertaqwa. [Al-Baqarah (2) : Ayat 2]




Rujukan : Al-Quran, Medical Physiology 2nd Year Vol.2 (Mans. Uni.)

Diatas nama “AMAL”

Saturday, April 17, 2010

“Engkau Tipu…” Teringat ayat perbualan antara 2 penyamun dari cerita Nujum Pak Belalang ketika mereka sedang memberikan harta hasil pencurian mereka.

Maha Suci Allah yang tidak putus-putus melimpahkan rahmat-Nya. Semakin hampir kepada final exam, terasa masih mempunyai masa untuk berkongsi sesuatu perkara. Semoga ia satu nikmat dan bukannya sebaliknya. Na’uzubillah…

Berada dalam dunia sekarang, media menguasai dunia. Kerana media ialah antara medium terpantas untuk mengetahui atau menyampaikan sesuatu perkara. Antara cabang besar kepada media ialah media cetak, audio, video & komputer @ IT. Kajian saintifik pada hari ini menunjukkan kesan penerimaan dari setiap jenis media adalah berbeza.

- Seseorang yang membaca media cetak, dia akan mengingati kira-kira 10% daripada apa yang dia baca secara puratanya
- Melalui kaedah pendengaran 20%
- Melalui penglihatan seperti gambar dan sebagainya 30%

Tetapi jika dia mendengar audio dan melihat gambar secara secara serentak seperti menonton video, dia akan mengingati sebanyak 50% daripada apa yang dia lihat dan dengar.

Idea Kafir

Amal dan ihsan. Dua sifat yang sangat digalakkan dalam agama dan atas nama itu juga kita dipermainkan oleh musuh-musuh Allah. Anda pernah dengar tentang konsert-konsert amal? Ataupun rancangan yang punyai pasangan suami isteri menari di pentas dimana setiap pasangan mewakili mana-mana badan kebajikan untuk diberikan sumbangan? Ya, semua untuk kebajikan.


Melaksanakan idea kafir. Itu yang sedang berlaku kepada saudara-saudara Islam kita tidak kira di Malaysia ataupun tempat lain. Sangat bagus diadakan konsert untuk mengumpul dana bagi membantu sesama manusia yang berada dalam kesempitan dan kesusahan. Tetapi ada sesetengahnya ingin membuat kebajikan dan pahala, pada masa yang sama terjerumus kepada perkara yang haram. Ketiadaan pengasingan tempat duduk bagi penonton lelaki dan wanita menjadi isu utama selain pakaian, penyanyi dan lagu-lagu yang dinyanyikan. 

Ikhtilat (pergaulan) tidak syar’ie adalah haram dalam Islam. Dikala orang-orang Islam ingin ‘beramal’ yang majoritinya masyrakat Melayu, senyuman yang lebar terukir di muka orang-orang kafir. Idea dari mereka, tetapi kita yang tertipu melaksanakannya. Bukan pada semua konsert, tetapi sebahagiannya.


Perkara yang sama. Mungkin pergaulan antara bukan muhrim menjadi isu sebentar tadi, bagaimana pula sepasang suami isteri? Mereka mewakili pelbagai badan kebajikan yang mana kemenangan mereka akan turut dirasai badan kebajikan tersebut dengan mendapat sumbangan ‘ikhlas’ dari pihak penaja. Apa yang tidak kena? Mereka suami isteri! Sekali lagi kita melaksanakan idea kafir.

Bagaimanakah pakaian mereka? Adakah Islam membenarkan wanita untuk menari dikhalayak ramai walaupun bersama mahramnya? Apakah halal sesuatu perkara yang haram itu dilakukan atas nama amal, ihsan ataupun kebajikan? Anda tahu jawapannya tetapi mengapa berpura-pura tidak sedar akan perkara itu. Anda juga tahu sebabnya. Itulah kuasa media.


“Niat Tidak Menghalalkan Yang Haram”