Pena Alam Maya

Kalam mutiara dari Syeikh Ibnu Atho'illah As-Sakandari yang ada dinukilkan di dalam kitabnya Al-Hikam : "...Tiada suatu nafas terlepas daripadamu, melainkan di situ pula ada takdir Allah yang berlaku di atasmu..."

Mahalnya Pelajar Mesir...

Friday, June 4, 2010


Sebaik sahaja tiba di kawasan Hussin, kedengaran suara yang berpunca dari pembesar suara Masjid Al-Azhar. Selesai solat Asar di Masjid Al-Azhar, mata meliar mencari pelajar Malaysia. Kaki melangkah semula dalam kawasan untuk mencari punca sebenar suara yang kedengaran di sekitar kawasan Hussin.

Sebaik sahaja melangkah masuk ke dewan solat utama yang menempatkan mimbar, kelihatan seseorang yang tidak asing sedang berucap sambil duduk diatas kerusi. Syeikh Asyraf Hamid Hasanain sedang memberi tazkirah. Duduk sebentar untuk melihat wajah dan mendengar ucapan dari Imam 2 Masjid Al-Azhar itu meskipun tidak faham apa yang disampaikan. Selesai sahaja ucapan, orang ramai yang mendengar tazkirahnya pantas bangun dan menuju ke arah beliau untuk bersalaman. Tidak mahu terlepas untuk mengambil keberkatan, dengan pantas menghampiri Syeikh Asyraf untuk bersalaman dan mengucup tangan Ahli Bait Rasulullah SAW itu.

Langkah diteruskan, menumpukan kepada tujuan asal. Mata menangkap gerak geri pelajar Malaysia yang sedang berjalan pantas ke suatu tempat. Akhirnya ditemukan dengan satu ruangan dalam masjid yang seakan-akan bilik. Dari luar kelihatan susuk tubuh seorang yang tua duduk diatas kerusi. Melangkah masuk dan duduk. Melihat beberapa ciri pada lelaki tersebut dan menjeling pada kitab yang dipegang oleh beberapa orang disitu. Akhirnya sampai jua.

Kelas pengajian Syeikh Toha Hibisyi Ad-Dusuqi. Beliau mensyarahkan kitab Jauharah Tauhid yang matannya ditulis oleh Imam Al-Laqoni dalam masa satu malam. Subhanallah! Terdapat satu lagi perkara yang mengagumkan dalam kelas pengajian ini. Sebelum ini hanya mendengar cerita, tetapi kini diperlihatkan-Nya. Prof. Dr. Toha, bekas Ketua Jabatan Akidah dan Falsafah, Kuliah Usuludin, Universiti Al-Azhar. Meskipun tidak dapat melihat dengan jelas secara zahir akibat penyakit katarak, namun beliau mampu mensyarahkan kitab Jauharah Tauhid itu dengan mantap serta mengikut turutan kitab. Maha Suci Allah.

Di akhir kelas, biarpun tidak memahami tetapi masih berpuas hati. Alhamdulillah kerana dikurniakan tiga orang sahabat, pelajar tahun dua kuliah Usuludin untuk menerangkan apa yang dipelajari. Lahir dalam keturunan mulia berketurunan Saidina Hassan RA, tiada yang ingin melepaskan peluang bersalaman dengan beliau. Rindu itu akan datang semula dan rindu itu akan membawa diri ini kembali lagi.

*****   *****   *****
Talak

“Perkara halal yang paling dimurkai oleh Allah Taala ialah talak”
[HR Abu Daud]

Talak dari segi bahasa ialah melepas atau terlepas
Talak dari segi syarak ialah merungkai ikatan perkahwinan dengan lafaz talak & sebagainya

Talak sah dilakukan secara talak tanjiz (dilaksanakan terus). Ia juga sah dilakukan secara talak ta’lik (tergantung). Maksud talak ta’lik (talak tergantung) ialah suami mengaitkan talak dengan sesuatu sifat atau syarat, sama ada mempunyai hubungan dengan isterinya atau orang lain.

Contoh talak ta’lik yang dikaitkan dengan sifat ialah suami berkata : “Aku ceraikan kamu ketika kedatangan ayah kamu” atau “Aku ceraikan kamu di bulan Ramadhan”. Oleh itu isteri akan jatuh talaknya apabila ayahnya datang atau apabila masuknya bulan Ramadhan.

Contoh talak ta’lik yang dikaitkan dengan syarat ialah suami berkata : “Aku ceraikan kamu jika kamu keluar dari rumah ini” atau “Aku ceraikan kamu jika saudaramu masuk ke rumah ini”. Talak akan jatuh jika isteri keluar dari rumah itu atau apabila saudaranya masuk ke dalam rumah itu.

Kesan Talak Ta’lik

Kesan-kesan yang timbul daripada talak ta’lik ialah :

… Talak tidak akan berlaku selagi perkara yang dikaitkan dengan talak itu masih belum berlaku
… Kehidupan suami isteri akan berterusan secara sempurna daripada segi hukum-hakam & kewajipannya selagi syarat yang disebutkan dalam talak ta’lik belum berlaku, walaupun ia pasti berlaku seperti suami berkata : “Apabila datangnya bulan Ramadhan aku ceraikan kamu”
…Talak akan jatuh sebaik sahaja syarat yang disebutkan dalam talak ta’lik berlaku. Suami tidak perlu melafazkan talak yang baru

Sebagai tambahan berkenaan masalah dan persoalan mengenai talak, sila berkunjung ke blog Ustaz Nazrul Nasir.

Wallahua’lam…



Rujukan : Fiqh Manhaji (Kitab Feqah Imam Syafie) Jilid 4 Bab 14


Ustaz Basith : "Mahal pelajar-pelajar Mesir ni dengan kat Malaysia sebab kat sini ada ulama'-ulama'..."
Alhamdulillah – Satu hajat tercapai

0 Wasiat Ditinggalkan:

Post a Comment